"Berbahagialah wahai gadis yang diuji Tuhan. Di sebalik ujian pasti terselit sejuta hikmah. Hujan turun beserta guruh, akhirnya terlihat pelangi indah. Terus senyum ya bidadari, lantas kau bina warna-warna indah yang bisa terbiaskan pada insan lain. Sungguh, kau insan terpilih."

Saturday, January 16, 2016

Cerpen : Anis & Isyraf

“KAHWIN?!”

“Dengan dia?” Soal lelaki di hadapan Anis sambil menuding jari ke arahnya.

“Eee… tak naklah!” Balas Anis.

“Ey, kau ingat aku nak sangat ke kahwin dengan kau?” Marah lelaki itu sebelum kembali memandang papanya, “Papa, apa semua ni? Kenapa Isyraf kena kahwin dengan Anis tiba-tiba ni? Dalam waktu terdekat ni pulak tu!”

“Lagi beberapa bulan Anis akan further study. Kamu pula akan…”

“Shhh! Tak payahlah papa sebut. Isyraf fahamlah!” 

“Jadi, papa tak nak nanti kamu berdua jatuh cinta dengan orang lain pula. Sebagai langkah keselamatan, baik papa nikahkan dulu. Jadi tak ada sebab untuk kamu berdua nak bercinta dengan orang lain." Terang Dato’ Hafiz.

“What?! Apa benda ni, pa? Tak ada ribut tak taufan kenapa mesti kami dijodohkan ni? Dengan Anis pulak tu!” Isyraf tak puas hati.

“Uncle, kenapa Anis kena kahwin dengan Isyraf? Kalau Isyraf nak dijodohkan pun, Isyraf sepatutnya dijodohkan dengan pewaris mana-mana syarikat besar juga. Anis… cuma anak angkat keluarga ni aje." Sampuk Anis pula.

“Ada sebab kenapa kami ambil kamu sebagai anak angkat, Anis. Bukan sekadar kerana kamu ialah anak kepada rakan baik kami dan sebagai rakan sepermainan Isyraf." Datin Zulaikha memegang lembut bahu Anis.

“Maksudnya?” Soal Anis lagi.

Apa yang diterangkan kepadanya selama ini, tujuan dia diambil sebagai anak angkat dalam keluarga ini hanyalah sebagai teman untuk Isyraf yang merupakan anak tunggal. Dia juga pernah diceritakan bahawa hubungan arwah mummy daddy memang bersahabat baik dengan Dato’ Hafiz dan Datin Zulaikha. Mummy daddynya meninggal dalam kemalangan sewaktu dia baru berusia 3 tahun. Selepas itu dia diambil sebagai anak angkat keluarga ini dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang sama seperti Isyraf.

Namun sebenarnya dia sendiri tak mengerti mengapa keluarga ini sanggup mengambil seorang anak perempuan sepertinya sebagai anak angkat dan teman untuk Isyraf sedangkan sudah terang apabila meningkat dewasa, hubungan mereka tetap bukan muhrim sehingga dia sendiri perlu menjaga aurat dan batas pergaulannya dengan Isyraf.

“Uncle harap kamu akan bertenang dengar penerangan kami ini, Anis.” Ujar Dato’ Hafiz lembut.

“Sebelum mummy dan daddy kamu kemalangan 15 tahun lalu, mereka ada berpesan kepada kami andai suatu masa nanti mereka tak sempat menjaga kamu, mereka minta kami yang jagakan kamu dan mereka berharap sangat yang Isyraf boleh jadi suami kamu supaya dia boleh menjaga kamu sebagai pengganti kami andai kami tiada pula nanti.”

Anis terpempan mendengar penjelasan Dato’ Hafiz. Datin Zulaikha pula masih tetap mengusap bahunya bagi menenangkannya.

“Jadi kenapa Isyraf pula yang jadi mangsa dalam hal ni? Pa, Isyraf baru 19 tahun! I’ve a lot things to do but not to be a husband!” Bangkang Isyraf.

“Isyraf, papa minta maaf! Tapi papa terpaksa juga satukan kamu berdua secepat mungkin bagi mengelakkan kamu berdua jatuh cinta kepada orang lain pula."

“This is nonsense! Biarlah kami cari pasangan hidup kami sendiri. Tak payahlah nak jodohkan kami sedangkan kami tak nak!”

“Isyraf, please! Lately, papa selalu sangat mimpikan arwah mummy dan daddy Anis. Mungkin itu merupakan satu petunjuk yang kamu dan Anis perlu disatukan segera."

Isyraf tergelak sinis, “Semua ni tak masuk akal, pa! Merepek. Tolonglah jangan jadi kuno sangat.”

Isyraf kemudiannya mengangkat punggung dan melangkah ke muka pintu. Dato’ Hafiz memanggil anak tunggalnya itu, “Isyraf, nak pergi mana tu?”

“Isyraf nak keluar dari rumah ni. Orang dalam rumah ni semuanya nak menjahanamkan hidup Isyraf aje!” Isyraf sudah melangkah keluar dan menghempaskan pintu.

“Isyraf, jangan! Arghhhh!” Dato’ Hafiz tiba-tiba memegang bahagian kiri dadanya.

“Abang? Abang kenapa ni?” tanya Datin Zulaikha risau. Anis terdiam di situ apabila tiba-tiba papa angkatnya itu rebah.

“Abang!!”
.
.
.
.
.
DISEBABKAN tidak mahu perkara yang lebih buruk menimpa papanya yang sememangnya memiliki penyakit jantung, Isyraf akhirnya terpaksa menurut jua permintaan papanya itu. Tanpa kerelaan kedua-dua belah pihak, Anis dan Isyraf akhirnya selamat diijabkabulkan.

Semua bagai mimpi apabila segala-galanya berjalan dengan pantas. 

Ya. Mimpi yang dia sangat berharap akan sedar dengan kadar segera. 

Namun berkali-kali Anis mencubit pipinya, tetap terasa sakitnya. Ya. Dia tidak bermimpi. Dia kini sudah sah menjadi seorang isteri!

“Yang kau cubit pipi kau sendiri kenapa?” Soal Isyraf yang muncul dan masuk ke dalam biliknya yang kini sudah dihias cantik. Tersenyum sinis dia melihat hiasan bilik itu. Konon bilik pengantinlah!

“Tak ada apalah." Jawab Anis kekok apabila buat pertama kali selepas dia baligh, auratnya diperlihatkan kepada lelaki bukan muhrim.

Apatah lagi sejak mereka berdua kian remaja, jarang sekali Anis dan Isyraf bersua muka apatah lagi berborak rancak. Semuanya kerana sejak mereka berdua melangkah ke alam sekolah menengah mereka masuk ke asrama penuh. Itupun bila cuti sekolah mereka lebih gemar membuat hal masing-masing.

Isyraf duduk melunjur sambil bersandar di kepala katil. Dia menyilang tangan memeluk tubuh sambil merenung Anis.

Anis yang sedang menyikat rambutnya berasa segan, “Tengok apa?”

“Kau ni tak adalah cantik mana."

Anis mendengus, “Ada masalah ke?”

“Kau cintakan aku tak?” Soal Isyraf tanpa mempedulikan soalan Anis.

Dahi Anis berkerut, "Hah?”

“Tak payahlah buat muka terkejut sangat. Aku tanya ni, kau cintakan aku tak?” Tanya Isyraf lagi.

“Err… Sejujurnya sekarang ni tak. Tapi…”

“Bagus!” Isyraf pantas memotong. “Dan aku tak nak kau cintakan aku. Faham?”

“Kenapa?” Tanya Anis.

Isyraf tersenyum sinis, “Kau tanya ‘kenapa’? Jangan kata yang kau ada rancangan nak cuba jatuh cinta dengan aku?”

Muka Anis tiba-tiba memerah, “Eh, tolonglah! Tak pernah teringin pun.”

“Kau tak nak cari jodoh sebenar kau ke? Kita ni kahwin atas unsur paksaan keluarga. Mungkin kita sebenarnya bukan berjodoh pun tapi dipaksa oleh orang lain. Jadi, aku izinkan kalau kau nak cintai lelaki lain dan kau pun kena relakan aku untuk mencintai perempuan lain. Bila kau dah jumpa lelaki yang kau cinta, aku akan lepaskan kau kalau itu yang kau nak. Sampailah waktu tu aku takkan pernah sentuh kau. Jadi aku akan ‘pulangkan’ kau macam keadaan asallah kiranya. Faham?”

Anis diam seketika sebelum bertanya, “Awak ada siapa-siapa yang awak cinta ke?”

Kening Isyraf terangkat sebelah, “Sejak bila kau ber ‘awak’ dengan aku ni?”

Anis menggigit bibir menahan malu seketika, “Tak adalah. Apapun sekarang kita tetap suami isteri. Saya tak naklah guna aku-kau sebab kedengaran biadap walaupun awak tak terasa hati. Kalau saya mati kejap lagipun saya akan mati sebagai isteri awak. Jadi tak naklah mati dalam keadaan isteri nusyuz pula!”

Isyraf kelihatan bingung seketika namun perlahan-lahan mengangguk, “Ah! Apa-apalah. Ikut suka kaulah. Untuk soalan kau tadi sekarang aku memang tengah tak ada siapa-siapa tapi siapa tahu nanti, kan? Tapi kalau betul ada pun nanti, mungkin aku cuma perlu madukan kau aje. Atau kalau kau nak, aku boleh lepaskan kau.”

Anis mengangguk memahami tanpa terasa sentap walau sekelumit tatkala mendengar Isyraf berniat untuk memadukannya di masa hadapan, “Betul juga. Jadi betul ke ni awak izinkan saya kalau saya cintakan lelaki lain?”

“Yup. Suka hati kaulah!” Ujar Isyraf yakin. 

Anis pula tersenyum lega. Jujurnya dia terasa terbeban jika perlu mencintai lelaki itu. Tidak ada sekelumit rasa cinta pun terhadap lelaki yang sudah dia anggap sebagai abang itu.

“Eh, tapi aku nak tanya sikit. Kau nanti sambung study dekat mana?” Tanya Isyraf.

“Emm… Bulan depan saya daftar dekat matrik Perlis."

“What?!” Pekik Isyraf tiba-tiba.
“Ke… kenapa?” Tanya Anis terkejut.

“Err… Tak ada apalah. Dahlah! Aku mengantuk. Kau tidur dekat sofa sana." Arah Isyraf.

“Eh, kenapa saya pulak? Awakkan lelaki. Awaklah yang kena tidur sana.”

Isyraf memandang Anis, “Kau nak jadi isteri nusyuz ke tak nak dengar arahan aku ni?"
.
.
.
.
.
“MAMA, kenapa tak beritahu dia akan further study dekat matrik Perlis?” Soal Isyraf.

“Kamu tak pernah tanya." Jawab Datin Zulaikha selamba.

Isyraf mengeluh, “Mama dengan papa memang sengaja aje, kan?”

Datin Zulaikha tersenyum, “Memang itu salah satu sebabnya tapi sebab utama ialah papa kamu memang selalu sangat mimpikan orang tua Anis. Kesian papa selalu tidur tak lena. Sejak kamu dah bernikah dengan Anis barulah papa boleh lena tidur.”

Isyraf mendengus, “Alasan aje tu.”

“Nanti lepas kamu berdua habis study baru kita buat majlis besar-besaran ya? Bolehlah kita ajak saudara-mara, kawan-kawan papa, kawan-kawan kamu dan Anis…” Cadang Datin Zulaikha.

“Alaaa, tak payah nak buat pun tak apa. Membazir aje pun. Entah-entah bukan bertahan lama pun hubungan kami ni. Dah kahwin pun bukan ada rasa apa pun." Ujar Isyraf tidak puas hati.

Datin Zulaikha mengeluh, “Isyraf, janganlah cakap macam tu. Kamu terima ajelah Anis sebagai isteri kamu. Walau apapun kamu kata, kamu tetap dah sah sebagai suami dia. Mama harap bolehlah kamu belajar cintakan dia. Mama juga harap setahun di matrikulasi itu dapat mengajar kamu bukan setakat ilmu tetapi erti sebuah cinta. Cinta yang Halal.”
.
.
.
.
.
DIA bermain-main dengan cincin di jarinya. Sudah seminggu dia tidak bersua muka dengan Isyraf. Tak ada sekelumit perasaan rindu pun bertandang di hati. 

Malah dia berasa lega kerana akhirnya dia berjaya juga lepas dari tanggungjawab seorang isteri. Ya, isteri. Dia sudah sah menjadi isteri kepada Isyraf dua bulan lalu. 

Semuanya umpama mimpi. Dia teringat pada hari akad nikah mereka yang dijalankan secara tertutup dengan hanya dihadiri keluarga rapat sahaja. Suara Isyraf tatkala melafazkan ijab kabul masih terngiang-ngiang di telinganya namun pada waktu itu dia langsung tidak berasa apa-apa. Sedih pun tak. Takut pun tak. Teruja dan gembira jauh sekali! 

Anis yakin perempuan yang bernikah secara ‘normal’ pastinya akan merasai pengalaman yang jauh lebih indah.

Namun walaupun mereka sudah sah sebagai suami isteri, semuanya bagai tiada apa yang jadi. Isyraf masih dengan egonya yang tidak mahu menerima kenyataan. 

Anis pula masih menganggap perkahwinan mereka hanya sekadar mahu mengikut permintaan terakhir arwah mummy dan daddynya. Dia masih kecil sewaktu mummy dan daddynya meninggal dunia jadi sekurang-kurangnya dia dapat menunaikan permintaan daddy dan mummynya walaupun mereka sudah tiada.

Sewaktu dia mendaftar minggu lalu pun Isyraf tidak turut serta menghantarnya. Ketika mereka berangkat ke bumi Perlis ini Isyraf berkeras tidak mahu ikut dan beralasan sudah berjanji dengan rakannya walaupun Anis tahu Isyraf memang sengaja mahu mengelak daripadanya.

Di rumah pun jarang sekali mereka bersua muka walaupun tinggal sebilik kerana Isyraf kerap keluar dan pulang lewat. Puas sudah dibebel dan dimarahi oleh orang tuanya namun Isyraf masih berdegil menyebabkan Anis sendiri jarang dapat menemui lelaki itu jauh sekali mahu berbual. 

Namun Anis tidak kisah. Dia sendiri selesa begitu dan mengandaikan majlis pernikahannya tidak pernah berlaku.

Di matrikulasi ini, Anis hanya memegang satu status saja, iaitu pelajar. Tiada seorang pun tahu bahawa dia berstatus isteri orang. Kini baginya dia sama saja seperti gadis lain yang baru mahu mengenal dunia luar.

Perjalanan hidupnya masih jauh. Isteri itu hanya dianggap satu status di atas kertas saja. Isyraf sendiri memberi keizinan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri malah membenarkannya untuk jatuh cinta pada mana-mana lelaki. Ada ke keizinan yang macam tu dari seorang suami?

“Hang duk menung apa tu? Teringat markah ka?” Tegur Arina atau mesra disapa Rin. Si gadis balik pulau yang sangat pekat utaranya.

“Tu cincin dekat jari tu entah-entah pakwe kasi kot. Eden tengok dari tadi ekau dok membelek cincin tu." Nurnadiah atau Nad yang berasal dari Negeri Sembilan pula menegur.

“Markah apa kebendanya. Aku mana ada pakwe. Cincin ni memang aku punyalah." Bidas Anis sambil menyambung mengemas meja studinya memandangkan mereka akan memulakan kelas pada keesokan harinya.

‘Dah sah-sahlah aku mana ada pakwe. Laki adalah!’ Bisik hati Anis.

“Wawa! Hang nak pilih meja mana?” Aimi yang baru muncul sambil membawa stok makanannya memekik memanggil Wawa.

Banyaknya lahai stok makanan budak ni. Untuk air aje dah berapa jenis. Coklat, biskut, dan segala macam snek. Duduk Kedah ajepun tapi stok makanan macam taknak balik!

“Tira nak tepi tingkap!” Tira yang berasal dari Johor pula tiba-tiba muncul sambil cepat-cepat meletakkan beberapa buah buku rujukannya. 

Anis lihat ada buku rujukan Matematik Tambahan tingkatan 5 dibawa sama. 

Mak aii… Budak ni simpan lagi ke buku sekolah dia? Aku punya buku sekolah semua dah selamat kena jual dengan tauke surat khabar lama tu!

“Aku nak duduk sebelah Tiralah." Wawa yang turut membawa buku rujukan muncul. Wawa merupakan satu-satunya pelajar jurusan sains di bilik mereka ini.

“Ish, korang ni bising betullah! Kitorang elok aje pilih tempat diam-diam." Omel Anis sengaja mengusik.

“Eh, hello! Biarlah kitorang bising. Lebih mesra gitu. Kitorang tak pendiam macam hangpa." Wawa si anak jati Kedah membalas.

“Kang aku bising tak boleh berhenti jangan korang menyesal pula." Ugut Anis.

“Dah… Dah… Asyik bergaduh aje. Sekarang siapa yang matured?” Tira tiba-tiba menyampuk.

“Tapi apapun Rin lah paling matured, Tira." Rin pula menambah.

Mereka berenam kemudiannya terus bergurau dan bergelak ketawa sambil mengemas barang-barang mereka. Seminggu orientasi menyebabkan mereka tiada masa untuk mengemas barang-barang mereka. Mujur sudah selesai semuanya malah esok mereka akan memulakan kelas.

Anis amat bersyukur kerana rakan-rakan sebiliknya mudah mesra dan sekepala. Semoga sepanjang setahun dia di matrikulasi ini, dia berharap semoga semuanya akan dipermudahkan jalan oleh Allah.
.
.
.
.
.
“ESOK second-intake masukkan?” Aimi bertanya.

“Haah. Cikgu Faizal tadi kata juga. Kan, Nad?” Rin meminta kepastian Nad yang sekelas dengannya. 

Untung budak berdua ni. Dahlah sebilik. Lepas tu sekelas pula.

Anis mencabut earphone di telinganya. Dia berpusing menghadap rakan-rakannya. Penatlah dari tadi asyik buat kerja. Kerja tak pernah habis. 

Pensyarah pula macam berlumba-lumba memberikan kerja. Hidup sebagai pelajar di matrikulasi ini membuatkan dia adakalanya langsung terlupa dengan status sebenarnya sebagai seorang isteri. Dia ada juga berbual melalui telefon dengan ibu mertuanya dan pernah sekali dua berbalas mesej dengan suaminya tapi hanyalah teguran ringkas dan Anis yakin itupun selepas dipaksa oleh Datin Zulaikha. 

Namun sejak dua tiga hari ini Isyraf tidak lagi menghubunginya dan dia langsung tidak ambil kisah malah lebih selesa begitu.

“Kalau ada budak baru masuk bilik kita macam mana?” Tanya Wawa.

“Depan mak dia nanti kita layan dia baik-baik. Lepas mak dia balik kita buli! Hahahaha…” Anis berancangan jahat.

“Lepas tu kita bagi dia meja sebelah aku ni. Meja ni suis dia rosak." Sambung Nad.

“Jangan bagi dia pakai iron kita." Rin pula menambah sambil menunjuk seterika seludup yang dibawa Nad.

“Jahatlah korang ni! Kesianlah budak tu nanti." Ujar Tira walaupun dia juga sama-sama gelak apabila mereka membuat imaginasi andai ada budak baru masuk ke bilik mereka itu.

“Eh, tapi rasanya tak ada kot. Bilik kita dah full enam orang." Wawa menyampuk.

“Tapi kalau tiba-tiba ada macam mana?” Tanya Anis.
“Kita tendang dia keluar.” Wawa menjawab sebelum semuanya berdekah ketawa lagi.
.
.
.
.
.
“HARI ni budak second-intake dah start class kan?” Tanya Nina.

“Haah. Harap-haraplah ada yang handsome-handsome masuk kuliah kita ni ke… Kelas ke!” Athirah pula teruja mengharap.

“Hang ni galaklah!” Tegur Marina sebelum yang lainnya turut mengusik Athirah yang suka mencuci mata dengan lelaki bermuka kacak dan jambu.

Sudah menjadi kebiasaan mereka sementara menunggu pensyarah yang memberi kuliah masuk, mereka akan bergosip terlebih dahulu. Tak bagus betul untuk diikuti.

“Eh, itu budak baru ke?” Faten tiba-tiba menunjuk apabila seorang lelaki yang tidak pernah dilihat masuk ke dewan kuliah bersama-sama Afiq dan Firdaus yang merupakan rakan sekelas mereka.

“Haahlah. Macam tak pernah nampak aje.” Ujar Nina sambil memerhatikan pelajar itu.

“Mana? Tak nampaklah." Anis yang kedudukannya agak hujung tidak dapat melihat dengan jelas kerana dihalang oleh beberapa pelajar lelaki lain yang baru masuk. Pelajar baru itu kemudiannya terus duduk tanpa dapat Anis lihat wajahnya.

Tidak lama kemudian Pn. Afiqah, pensyarah matematik mereka masuk ke dalam kuliah menyebabkan semua pelajar mula memandang ke hadapan dan mula untuk fokus. 

Namun Anis masih tidak tenang kerana dia merasakan seolah-olah mengenali pelajar baru itu.

“Ish, tak nampak jelaslah muka budak baru tu." Athirah berbisik. Dia hanya menyalin saja jawapan yang dipamer di hadapan tanpa mengisahkan penerangan pensyarah. 

Anis yang sebelum ini menumpukan tumpuan sepenuhnya semasa kuliah juga hilang konsentrasinya dan turut kerap menjeling ke arah pelajar baru itu.

Selepas hampir 10 minit kuliah, pelajar itu menoleh ke belakang untuk memberikan kertas kedatangan kepada pelajar di barisan belakang.

“Oh myyy! Dia handsomelah!” Athirah berbisik teruja.

Pada waktu itulah jantung Anis nak tercabut keluar apabila lelaki itu rupa-rupanya ialah lelaki yang sangat dikenalinya. 

Mati aku! 
Apa dia buat dekat sini? 
Macam mana dia boleh wujud dekat matrik ni? 
Lebih dahsyat dalam kuliah aku ni?!
Janganlah dia sedar aku dalam ni!

Namun selepas tamatnya kuliah matematik, Anis terasa mahu menjerit histeria apabila Isyraf rupanya satu praktikum dengannya dan mereka akan bersatu ketika kelas bahasa inggeris. 

Bulat mata Isyraf apabila menyedari Anis merupakan rakan sekelasnya. Anis hanya berpura-pura tidak menyedarinya.

Di kelas itu barulah Anis serta rakan-rakan sekelasnya tahu bahawa Isyraf sebenarnya ialah pelajar repeat yang gagal memperoleh standard result untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah. 

Waktu itu barulah Anis mengerti mengapa Isyraf terkejut besar dulu saat dia memberitahu akan melanjutkan pelajaran di sini.

“Isyraf, I’ve never thought that I’ll be your english teacher again this year. Boring betullah I nak tengok muka you. You sedar tak yang you ni dah tua. I sayang budak-budak muda aje." Madam Chan berseloroh membuatkan satu kelas ketawa.

“Sampai hati teacher cakap macam tu. Sorryla teacher. I just miss you and this place. So sebab tu I ada lagi dekat sini." Balas Isyraf.

“Banyaklah you. Result macam tu memang patut pun kena repeat! Sekali I pelangkung nanti baru tau!” Ugut Madam Chan sambil sekali lagi seluruh kelas ketawa lagi.

“Tapi at least saya dapat A apa untuk english! Dua-dua sem pula tu. Nampak tak saya memang sayang teacher?” Ujar Isyraf membuatkan satu kelas berbunyi ‘woo’ dengan nada teruja. 

Walaupun subjek english merupakan subjek yang kedengaran mudah untuk mendapat gred A tapi percayalah, di matrik subjek itu paling mudah untuk mendapat F! Sedangkan PT3 pun english susah nak dapat A!

“Hah, itu yang I pelik tak habis sampai sekarang! Orang lain dapat C, D, E, F untuk english tapi you dapat A. Subjek lain yang orang lain boleh petik jari dapat A you boleh fail! Apatah lagi dengan result SPM you tu memang orang expect tinggi tau." Ujar Madam Chan.

“Eh, kau dapat SPM berapa?” Sampuk Firdaus.

“SPM benda lamalah teacher." Isyraf cuba berdolak-dalih.

“But straight A’s is not something even genius student can get." Ujar Madam Chan membuatkan satu kelas sekali lagi mengeluarkan nada kagum bercampur terkejut. 

Anis sendiri terkejut mendengarnya. Straight A’s?! Kenapa aku macam tak pernah tahu? Tapi tak boleh perform dekat matrik? Susah sangat ke matrik ni?
.
.
.
.
.
“MACAM mana kau boleh sama praktikum dengan aku ni?!” Soal Isyraf. Mereka memutuskan untuk berjumpa selepas tamatnya waktu kelas pada hari itu.

“Eh, manalah saya tahu! Bukannya saya yang daftarkan awak. Awak tu… Dahlah tak beritahu pun awak akan masuk sini juga!” Marah Anis.

“Tak perlu pun." Balas Isyraf malas. 

Anis mencebik bengang.

“Kau jangan beritahu sesiapa tau tentang hubungan kita." Ujar Isyraf perlahan.

“Awak tak payah cakap pun saya tahulah." Jawab Anis.

Isyraf mencebik, “Okay. Kau buat kerja kau. Aku buat kerja aku. Deal.”
.
.
.
.
.
“KENAPA benci sangat dengan Isyraf tu?” Tanya Athirah apabila Anis tidak sudah-sudah mengutuk Isyraf apabila mereka bergosip tentang Isyraf yang pada waktu itu turut sedang menjamu selera di bahagian hadapan kafe. 

Anis pula sedang menjamu selera makan tengahari bersama-sama rakan-rakan sekelasnya. Mati seleranya seketika tatkala memandang Isyraf.
Terserlah di situ bahawa Isyraf popular di kalangan pelajar terutama pelajar perempuan. 

Tak hairanlah dia popular kerana wajah kacaknya dan pengalamannya tentang matrik ini sangat banyak. Buktinya waktu makan pun ramai perempuan yang menyapa. Huhh! Perasan popularlah tu!

“Mana ada benci. Just annoying aje dengan perangai dia yang mesra perempuan tu. Nampak sangat playboy.”

“Tapi memang dia baiklah,” Afiq mencelah. “Dia selalu tolong budak junior bila ada budak tanya kerja dekat dia.”

“Haah. Aku pun pernah tanya. Dia okay je. Dia ajar senang faham." Tambah Firdaus.

“Entah-entah dia ajar korang benda salah kot. Kalau pandai takkan dia repeat." Sanggah Anis.

“Hang ni tak baiklah cakap lagu tu. Mana tau dia betul-betul dah berubah ka?” Bidas Marina. Anis hanya senyap.
.
.
.
.
.
“KORANG kenal tak Isyraf?” Tanya Wawa sewaktu baru pulang ke bilik.

Aimi dan Tira menjawab ‘tidak’ manakala Nad dan Rin menjawab ‘ya’. 

Anis yang terkejut dengan soalan tiba-tiba itu pula hanya mendiamkan diri apabila nama suaminya dibangkitkan. Dah apa hal nama mamat ni naik pula?

“Dia satu mentor mentee dengan aku! Dia baik gila…”

“Serius? Untung gila kau dapat dekat dengan dia! Dia popular gila kot. Budak kelas aku pun ramai minat dia. Dahlah handsome. Baik…” Nad menyahut teruja.

“Kann… Aku dah lama perhati dia sebenarnya. Tak sangka tadi perjumpaan mentor mentee rupanya dia satu group dengan aku. Adakah ini satu jodoh?!” Angau Wawa.

“Siapa Isyraf tu?” Tanya Aimi.

“Hish, kau ni! Isyraf popular tu pun kau tak kenal. Nanti aku tunjuk dekat kau." Jawab Rin.

“Tapi dia budak repeat, kan? Dia tua setahun dari kita." Celah Anis yang sejak dari tadi diam.

“Ya ke? Aku tak pernah tahu pula. Aku cuma ingat dia second-intake." Jawab Wawa berminat.

“Anis kenal dia ke?” Tanya Tira.

“Err… Dia satu praktikum dengan Anis." Jawab Anis teragak-agak.

“Laa… Hang tak pernah cerita pun!” Ujar Rin.

“Kau satu kelas dengan budak popular tu? Ish, jealousnya aku!” Nad pula mengeluarkan kekesalannya.

“Nak jealous buat apa? Eh, dengar sini! Budak tu perasan bagus aje tau. Korang janganlah terpedaya sangat dengan dia tu. Bukan bagus mana pun sebenarnya." Ujar Anis sebelum bangun dan melangkah keluar dari bilik itu.

“Marah betul Anis dengan Isyraf tu, ya? Apa yang Isyraf dah buat dekat dia?” Tanya Aimi. Yang lain hanya mengangkat bahu tidak mengerti.
.
.
.
.
.
“WOI, tak rindu aku ke?” Isyraf menyapa.

Anis yang baru mahu memilih ayam goreng sedikit terkejut, “Ish, awak ni! Kalau orang lain dengar mati saya. Awak tahu tak awak tu ramai peminat?”

“So? Kau jealous ke?” Usik Isyraf sambil memilih lauk.

Mujur waktu jam dua petang seperti ini tidak ramai pelajar di kafe. Dia yang kebuluran terus ke kafe selepas diberitahu oleh rakan sekelasnya bahawa kelasnya dibatalkan. Tidak sangka pula boleh berjumpa dengan Anis yang turut mahu membeli makanan tengahari.

“Tolong sikit. Tak teringin saya nak jealous. Annoying lagi ada tau!” Bisik Anis keras sebelum melangkah ke kaunter pembayaran.

“Eh, tunggu!” Arah Isyraf menyebabkan Anis terhenti. Isyraf pantas mengambil lauknya dan mengikuti langkah Anis sambil berbisik, “Kau ni tunggulah dulu suami kau ni."

Mata Anis terbeliak besar namun dia hanya menahan marah sebelum lantas ke meja kaunter, “Berapa Bang Din?”

“Adik punya RM3.50,” Bang Din, tauke Bang Din’s Cafe menjawab sambil membungkus makanan Anis.

Isyraf meletakkan pinggannya sebelum bersuara, “Sekali, Bang Din.”

Anis terkejut mendengar kata-kata Isyraf. Mamat poyo ni yang keluarkan dompet. Maknanya dia nak bayar. Jadi dia nak belanja aku ke?

“Sekali? Kalau sekali RM7. Wah… Ada apa-apa ke ni Isyraf?” Bang Din yang sememangnya mengenali Isyraf mengusik.

“Sekali-sekala buat baik, bang.” Isyraf berkata sambil tersenyum. 

Anis hanya mendiamkan diri dan mengambil bungkusan nasinya dan menuju ke bahagian rak roti untuk mengambil plastik.

“Sekali-sekala nak buat baik dekat bini, kan…” Bisik Isyraf di telinga Anis sebelum Isyraf melangkah pergi untuk membeli air.

Anis dapat merasakan mukanya merah padam saat itu. Eiii…! Saja aje tau mamat ni nak usik aku!
.
.
.
.
.
“NAK buka puasa sama-sama hari ni?”
Athirah mengangguk, “Budak kelas A yang ajak. Jomlah,”

“Yelah. Nanti lepas kelas kita pergi bazaar jom." Ajak Anis.

Seperti dijanjikan, selepas tamatnya kelas mereka hari itu, mereka mengunjungi bazaar ramadhan yang diadakan khas sepanjang bulan ramadhan di hadapan makmal komputer. 

Sekejap saja ramadhan sudah menjelang kembali dan ini merupakan kali pertama Anis merasai pengalaman berpuasa di negeri orang.

“Nak beli apa lagi?” Tanya Faten selepas mereka selesai membel nasi.

“Emm… Nak beli my favourite karipap pusing kejap." Ujar Anis sebelum melangkah ke gerai yang berada di hujung sekali.

Gerai itu sememangnya popular dan ramai pelajar berkerumun di situ. Anis sudah terjengket-jengket cuba memastikan posisi kuih karipap pusing kegemarannya.

“Kau nak beli kuih ke?” Tegur Isyraf yang entah sejak bila sudah berada di sebelahnya.

“Dah tu takkan nak beli rantai basikal pula." Perli Anis.

“Kau pergi ke buka puasa hari ni?” Tanya Isyraf.

“Pergi. Awak?”

“Aku nak pergi tapi aku nak bini aku bawakan makanan untuk aku.” Ujar Isyraf.

Anis membuat muka meluat, “Siapa bini awak?”

“Nak aku pekik dekat sini ke jawapan soalan kau tu?” Ugut Isyraf sambil tersengih jahat.

“Fine! Awak nak makan apa?”

Isyraf merampas bungkusan Nasi Ayam milik Anis, “Aku nak nasi kau ni. Aku malas nak bersesak dengan budak-budak tak cukup umur."

Terbeliak mata Anis, “That’s mine!”

“Jumpa nanti, wifey.” Isyraf berbisik jahat sebelum melangkah pergi.

Anis yang mahu mengejar Isyraf dan mencekik lelaki itu terhenti apabila bahunya dicuit. Ternyata Faten yang mencuitnya, “Dah beli ke belum Anis?”

“Err… Malaslah nak beli kuih. Eh, teman pergi gerai Nasi Ayam tadi balik.”

“Eh, tadikan dah beli? Mana nasi tadi?” Tanya Faten apabila tangan Anis kosong.

“Ada gorilla ambil. Dah jom cepat. Nanti habis pula!” Anis menarik tangan Faten yang sudah berkerut itu. 
Gorilla?
.
.
.
.
.
ANIS menjeling tajam ke arah Isyraf yang duduk di hadapannya dan sedang enak menikmati Nasi Ayam ‘percuma’. Dahlah ambil nasi orang. Dalam banyak-banyak tempat ni macam mana dia boleh tersesat depan aku juga dia nak duduk?!

“Aku tahu muka aku memang handsome masa tengah makan." Ujar Isyraf tanpa memandang Anis.

Anis mengetap bibir menahan geram. Dia memandang sekeliling. Rakan-rakan sekelasnya semua sedang leka berborak sesama mereka. Kenapalah tak ada sorang pun nak ajak mamat ni berborak sama?

“Dahlah curi nasi orang. Tak malu." Ujar Anis perlahan sambil menyuap nasi berlauk yang dibelinya. 

Nasi Ayam idamannya itu sudah habis sewaktu dia kembali untuk membeli lagi jadi terpaksalah nasi berlauk menjadi menu buka puasanya hari ini.

Isyraf memandang Anis yang beriak sedih itu. Dia mengeluarkan sebungkus plastik dari begnya dan dihulurkan kepada Anis.

“Apa ni?” Soal Anis.

“Jangan banyak bunyi lagi. Makan."
Anis membuka plastik itu dan alangkah terkejutnya melihat beberapa biji karipap pusing di dalam plastik itu. 

Memang karipap pusing itu mahu dibelinya tadi namun karipap itu juga habis. Mana tak sentap bila dua-dua makanan favourite lesap begitu saja gara-gara lelaki ini.

“Awak beli untuk saya?” Tanya Anis terharu dan teruja melihat karipap pusing kegemarannya itu.

“Takkan aku nak beli untuk bini Bang Din pula." Ujar Isyraf yang cuba berlagak macho sambil menyisip air teh o ais limaunya.

“Thank you, hubby!” Bisik Anis yang teruja sebelum menikmati karipap pusing itu dengan penuh berselera. 

Isyraf pula tersedak mendengar kata-kata Anis itu.
.
.
.
.
.
PANTASNYA semester dua tiba tanpa Anis duga. Rasa macam baru semalam aje dia mendaftarkan diri di sini. 

Sekarang dah masuk semester kedua juga semester akhir dia di sini. Diam tak diam sudah enam bulan dia di sini. Peperiksaan juga sudah selesai dijalankan dan bakal diumumkan keputusannya beberapa bulan akan datang.

Sedih apabila Nad memberitahu bakal menamatkan pengajiannya di matrikulasi dan akan melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Melaka. Ahli F3 306 bagai hilang separuh jiwa mereka apabila rakan sebilik mereka yang sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri pergi meninggalkan mereka. Namun mereka terpaksa redha atas keputusan Nad dan keluarganya.

Satu perkara yang mengejutkan Anis pada semester dua ini ialah apabila Isyraf memperoleh 4 flat pada PSPM yang lalu. Anis pula masih memperoleh keputusan yang baik walaupun tidak sebaik Isyraf.

“Huyyo, Isyraf! 4 flat kau, ya? Tahniah… Tahniah…” Isyraf menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakannya.

“Terima kasih." Ucap Isyraf namun matanya menangkap susuk gadis yang sedang berusaha keluar dari kelompok pelajar yang sesak di hadapan papan kenyataan yang memaparkan keputusan mereka.

Terkejut Anis apabila tiba-tiba bahunya dipaut seseorang yang membantunya keluar dari kelompok pelajar yang sesak itu. Ternyata orang itu Isyraf.

“Isyraf, apa awak buat ni? Matilah saya kalau ada orang nampak!” Bisik Anis keras pantas meleraikan pelukan Isyraf.

“Alaa… Tak ada orang perasanlah. Semua tengah sibuk dengan result masing-masing." Jawab Isyraf namun tiba-tiba dia menarik tangan gadis itu.

“Ey… Ey! Awak nak bawa saya pergi mana?”

Isyraf tidak menjawab sebaliknya terus menarik tangan Anis namun pegangannya itu direndahkan agar tiada siapa yang melihat. Isyraf terus menarik Anis sehinggalah mereka berada di sebuah tempat yang agak sunyi berdekatan tasik.

“Kenapa awak bawa saya ke sini?” Tanya Anis curiga apabila Isyraf mula duduk di hadapan tasik itu. 

Perlahan-lahan Anis menurut. Dia ni ada niat tak baik dekat aku ke apa? Entah-entah nak tikam aku tak?

“Aku nak tanya result kau ajelah. Sambil-sambil tu saje aje nak bawa kau ambil angin. Aku jarang nampak kau keluar joging ke petang-petang. Kau joging atas katil ke?” Tanya Isyraf.

Anis mengetap bibir apabila telahan Isyraf itu hampir tepat mengenai hidungnya, “Mana ada! Adalah kadang-kadang tu! Awak aje tak perasan."

Isyraf hanya ketawa sinis, “Apa-apalah. Sekarang ni aku nak tanya result kau berapa?”

“Kenapa nak sibuk?” Tanya Anis tidak berpuas hati.

“Sebab aku laki kau. Cepatlah cakap!” Gesa Isyraf. 

Anis mengetap bibir lagi menahan geram. Nasiblah sini tak ada orang. Karang ada kenyang makan beg galas.

“3.91 aje."

“Wooo… Pandai juga kau ya? Tengok muka macam bengap sikit." Ujar Isyraf selamba.

“Eh, eh! Kurang asamnya mulut. Taulah dapat 4 flat. Tak payahlah nak berlagak. Entah-entah baru first time dapat subjek A agaknya." Ujar Anis perlahan namun cukup untuk didengari Isyraf.

“Kau sibuk apa hal? Suka hati akulah nak first time ke second time ke." Balas Isyraf.

Anis hanya diam malas mahu membalas. Kemudian mereka hanya mendiam diri memandang ke arah tasik itu sebelum Anis tiba-tiba berkata, “Kalau mummy dan daddy saya ada lagi entah apa agaknya reaksi diorang ya?”

Isyraf terdiam.

“Awak untung, Isyraf. Awak masih ada orang tua. Walaupun mereka sayang saya juga tapi mereka bukan keluarga kandung saya. Tetap akan ada perbezaan di situ." Suara Anis tiba-tiba berubah sebak.

“Saya selalu tertanya-tanya, apa reaksi diorang ya bila tengok saya sekarang? Bila tengok kawan-kawan berusaha keras, saya pun buat benda yang sama. Tapi mereka buat itu semua untuk buat orang tua diorang bangga. Saya pula? Berusaha keras tanpa ada sesiapa untuk saya kongsikan. Papa dan mama memang ada sebagai ibu dan bapa angkat tapi saya yakin mereka akan lebih bangga kalau anak kandung mereka sendiri yang dapat."

Isyraf menjadi tersentuh hati mendengar kata-kata gadis itu.

Mungkin atas dasar kasihan, spontan tangannya perlahan-lahan membawa Anis ke dalam dakapannya. Agak mengejutkan gadis itu langsung tidak menolak malah sebaliknya terus menangis di dalam pelukannya. 

Tahulah dia bahawa Anis sudah lama memerlukan seseorang untuknya meluahkan rasa.

Selama ini dia lihat gadis itu kuat. Tidak dia sangka bahawa di dalam hati gadis itu menyimpan 1001 rasa yang tidak pernah dia ketahui.

‘Ya Allah… Walaupun pernikahan kami ini bukan sesuatu yang kami pinta namun adakah ini merupakan sesuatu yang engkau redhai? Adakah benar kami ini diciptakan untuk satu sama lain sebagaimana engkau menciptakan Adam dan Hawa? Ya Allah… Berilah petunjuk kepada kami." Diam-diam Isyraf berdoa di dalam hati.
.
.
.
.
.
“GUYS, I want each of you masuk group girls. Girls ada six group so each of you get into each group. I dah serik nak bagi you all satu group. Gerak sekarang!” Arah Madam Chan tegas.

Pelajar-pelajar lelaki dengan muka seposen gara-gara kena marah lambat-lambat bangun dan memilih kumpulan. Salah mereka jua ketika tugasan sebelum ini mereka buat sambil lewa sehingga menaikkan darah pensyarah mereka. Nasiblah…

“The Mockingjay, may I join you girls?”

Anis mengangkat muka tatkala Isyraf menegur. 

Rakan satu kumpulannya yang diberi nama The Mockingjay dan dianggotai oleh Anis, Nina, Athirah, Faten dan Marina turut terkejut namun lebih kepada terkejut gembira.

“Boleh! Boleh!” Setuju Nina.

“Duduklah!” Pelawa Faten.

“Alaaa! Aku baru nak join group diorang." Ujar Afiq tidak berpuas hati.

“Weh, Isyraf! Aku dah chop Mockingjay.” Haziq pula menyampuk.

“Eh, eh! Jangan nak bergaduh. Isyraf yang datang dulu. So kitorang pilih dia.” Athirah membuat keputusan membuatkan Afiq dan Haziq beredar dengan hampa.

Mereka tahu bahawa pelajar lelaki berebut mahu sekumpulan dengan mereka kerana kumpulan mereka berjaya menjadi kumpulan terbaik pada tugasan lepas. Pasti mereka menyangka jika berada bersama kumpulan ini pasti mereka juga mudah untuk menang selepas ini.

“Isyraf, any idea tambahan?” Tanya Athirah meminta pendapat selepas diberi penerangan oleh Madam Chan bahawa mereka perlu membuat presentation dengan mempromosi barang atau perkhidmatan hasil syarikat mereka.

“Err… Aku ikut korang ajelah." Ujar Isyraf sambil tersenyum.

“Teacher suruh buat video sekali, kan?” Tanya Marina.

“Tak apa. I’ll handle it." Celah Anis.

“Okay. Anis memang terror bab-bab komputer ni. Jadi…”

“Aku tolong kau." Sampuk Isyraf tiba-tiba menghentikan kata-kata Nina.

Anis berkerut kening tidak berpuas hati. Sibuklah dia ni!

“Betul kau boleh?” Tanya Faten.

Isyraf mengangguk, “Tak lelakilah kalau tak tahu bab-bab komputer!”
.
.
.
.
.
“AWAK ada movie maker?” Tanya Anis.

Isyraf menggeleng.

“MP3 cutter?”

Isyraf memandang komputer ribanya sebelum menggeleng lagi.

“Ada IDM tak?”

“Apa tu?”

Anis memejam mata seketika sebelum bertanya, “Apa awak tahu tentang komputer?”

“Emm… Online. Microsoft Word. Microsoft Powerpoint sikit. And… paint!”

Anis memusingkan bebola matanya. Nasib baiklah tengah dekat library. Kalau tak dah kena maki agaknya mamat ni dengan aku. Berlagak bukan main semalam! Ikutkan Anis, dia tidak mahu bertentang mata lagi dengan Isyraf walaupun tidak boleh dielakkan kerana mereka sekelas. 

Sejak kejadian selepas mendapat keputusan tempoh hari, Anis berasa malu dengan Isyraf apatah lagi dia sudah menangis di bahu Isyraf. 

Uwaaa! Malunya kalau fikir balik!

Dia sudah meminta maaf kepada Isyraf kerana Isyraf terpaksa mendengar rintihan hatinya dan meminjamkan bahu untuknya melepaskan rasa. Agak mengejutkan jawapan Isyraf apabila dia membalas : "Tak apa. Akukan suami kau.”

Suami? Sejak bila mamat ni dah isytihar diri sendiri sebagai suami aku? Dengan penuh yakin pula tu. Saja nak mengusiklah tu!

Mungkin waktu itu Anis benar-benar memerlukan seseorang yang memahami perasaannya untuk mendengar luahan hatinya dan kebetulan Isyraf berada dengannya waktu itu. 

Tapi kalau yang ada dengannya waktu itu ialah Haziq pasti dia tidak akan melakukan perkara seperti itu, kan? Adakah dia sudah menerima Isyraf?

Uiii! Tak nak aku jatuh cinta dengan mamat ego macam tu. Dahlah dia buat peraturan tak bagi aku jatuh cinta dekat dia. Eh, ingat aku hadap sangat ke nak cintakan dia?

“Kau dengar tak apa aku kata ni?” Soal Isyraf mematikan lamunan Anis.

“Dengar. Saya dengar dan nampak yang awak ni buta IT rupanya." Perli Anis.

“Alaaa… Ajarlah aku! I’m a good leaner okay!” Beritahu Isyraf.

Anis memandang Isyraf yang duduk di sebelahnya atas bawah, “Awak?”

Isyraf mengangkat keningnya sebelah apabila berasa tercabar dengan reaksi Anis itu. Dia tahu gadis itu pasti sedang memandang rendah terhadap pelajar repeat sepertinya.

“Aku 4 flat okay sem lepas dan aku yakin sem ni pun sama." Ujar Isyraf bengang.

Anis tersenyum sinis, “Then why don’t you do that last year?”

“Because I don’t want to!" Serius nada suara Isyraf.

“Whatever. It’s none of my business anyway. Kalau awak nak balik awak baliklah. Saya boleh buat video tu sendiri dekat bilik nanti. Saya tak ada moodlah nak buat. Buat math lagi banyak faedah.” Jawab Anis malas sambil menolak laptopnya ke tepi dan membuka buku matematiknya.

“Aku nak stay. Nak online." Balas Isyraf.

“Ikut sukalah." Balas Anis malas sambil terus menulis. 

Namun semakin lama soalan yang dibuatnya itu semakin susah. Walaupun berpandukan nota kuliah namun ternyata ia tidak membantu.

“Mari aku buat." Isyraf tiba-tiba menarik kertas jawapan Anis dan merampas pennya.

“Ey, apa awak buat ni?” Marah Anis perlahan supaya pelajar-pelajar di situ tidak terganggu dengan suaranya. 

Namun Isyraf sekadar diam sambil laju menulis dan sesekali mengira menggunakan kalkulator.

“Nah." Isyraf menolak kembali kertas dan pen Anis.

Terkejut Anis apabila tidak sampai lima minit Isyraf berjaya menyiapkan soalan yang dirasakan sangat susah itu. 

Jawapannya juga sangat panjang. Hampir penuh dua muka surat!

“Memang aku budak repeat tapi itu tak bermakna aku ni bebal." Ujar Isyraf serius.

Anis menelan air liur. Sudah… Sentap pula mamat ni, "Err… Saya minta maaf kalau buat awak terasa."

Isyraf menoleh memandang muka Anis yang serba-salah, “Kau nak tahu satu benda?”

“Apa dia?” Tanya Anis.

“Aku tak taulah kau nak percaya atau tak tapi… Sebenarnya aku saja tak nak perform masa masuk matrik dulu. Sebab aku memberontak dengan papa yang paksa aku masuk sini. Dia paksa aku masuk matrik sebab aku tak dapat tawaran lain selain diploma dekat UiTM dengan matrik. Papa expect aku dapat asasi so boleh further overseas pula ke. Tapi tak ada rezeki. So, dia paksa aku ambil matrik. Sebab katanya rugi dengan result SPM aku tu, aku pillih UiTM. Walhal aku memang nak UiTM tu!”

Anis tidak menjawab tapi dia hanya memandang Isyraf tidak percaya.

Isyraf mengerti Anis mungkin susah untuk mempercayai kata-katanya, “Aku tau mungkin kau rasa aku macam saja aje buat cerita sebab tak nak mengaku yang aku bodoh sampai kena repeat tapi kalau kau nak tau, memang tahun lepas tu aku langsung tak study! Aku suka buat masalah. Ponteng kelas, bergaduh, dan semua yang nakal-nakal aku buat sampai papa selalu kena panggil. Kalau tak percaya kau tanyalah lecturer dekat sini. Encik Faizal tu pun dah kenal sangat dengan aku. Pengarah dah berapa kali aku jumpa.”

“Perghhh… ganasnya!” Balas Anis yang mula tertarik dengan cerita Isyraf.

“Masa sem satu pointer aku lepas untuk sambung second sem. Bengang betul aku. Walhal cukup-cukup makan aje pun. Tapi second sem result aku menjunam jatuh teruk. Itu yang kena repeat. Aku ingat bila sampai kena repeat papa akan mengalah dari paksa aku masuk sini. Rupa-rupanya dia tetap nak juga aku habiskan setahun lagi dekat sini! Dia kata kalau aku pilih diploma lagilah aku rugi.”

“Jadi… Sekarang ni? Saya tengok awak macam bersungguh nak belajar. Kenapa?”

“Sebab aku baru sedar, kalau kali ni pun aku gagal, aku tak ada pilihan lain selain ambil diploma. Rugilah dua tahun aku. Aku nak gagal dulu cuma nak buat papa mengalah aje dan bagi aku masuk diploma tapi rupanya tak. Tapi kalau kali ni aku saja nak buat gagal lagi merugikan aku ajelah. Bila aku nak habis belajar dan mula tadbir syarikat? Papa dah tua. Kesian dia."

Anis terangguk-angguk mendengar luahan hati Isyraf. Ada perasaan juga mamat ni rupanya. Tak sangka pula lelaki ini sudah semakin matang berfikir.

“Kau tak payahlah nak tenung muka kacak aku ni sangat. Sekarang kau nak tak ajar aku buat video?”
.
.
.
.
.
“KORANG nak tahu cerita tak?” Wawa yang tiba-tiba muncul mematikan lamunan Anis. Entah bilalah budak ni balik. Macam biskut. Kejap ada kejap tak ada.

“Apa dia hang ni?” Tanya Rin.

“Tadi Isyraf minta nombor aku! Lepas aku bagi dia senyum dekat aku. Wahh… Bahagianya hati aku rasa." Wawa bercerita dengan nada teruja.

“Amboi… Sukanya dia. Untunglah…” Rin menyampuk.

“Entah-entah dia minta nombor semua orang dalam group tu tak?” Tebak Tira.

Wawa mencebik sebelum menggumam, “Hmmm…” 

Anis tersenyum dalam diam.

“Hmmm… Hang tak payah perasan sangatlah dia suka kat hang. Lagipun aku tengok dia tu taklah segak mana. Macam berlagak aje. Benci pula aku tengok." Aimi mengomel.

“Eh, kenapa pula kau nak benci dia? Dia okaylah!” Sampuk Anis tiba-tiba. Suka-suka aje nak kutuk laki aku! Huh? Laki?

Keadaan menjadi senyap seketika sebelum Rin bersuara, “Bukan… Hang pun tak suka dia ka, Anis?”

Anis terkebil-kebil. Aduh... Sekali boleh terlepas pulak.

“Err… Tak adalah. Aimi ni kan semua lelaki dia kata tak suka. Haha."

Kemudian acara usik-mengusik mula berlangsung sehingga mereka terlupa tentang perangai pelik Anis tadi.

‘Huh... Selamat!’
.
.
.
.
.
“HACHOOOMMM!”

“Amboi, Isyraf! Kuatnya bersin." Pn. Afiqah menegur apabila bersin Isyraf bergema satu kuliah. Rakan di sebelahnya yang tadi sedang tersengguk pun sampai terhantuk meja gara-gara terkejut. Sudahnya gamat satu kuliah gelak mentertawakan Isyraf.

“Sorry, teacher…” Isyraf meminta maaf sambil tersenyum sebelum hidungnya dilap dengan tisu. Pn. Afiqah hanya tersenyum sambil meneruskan kuliahnya.

Anis yang tadinya tidak gelak langsung memerhatikan Isyraf yang duduk hanya selang satu baris darinya. Dia menyedari muka dan telinga Isyraf agak merah. Kepala Isyraf juga kelihatan berat sehingga terpaksa ditongkat dengan tangannya.

‘Demam rasanya dia ni…'
.
.
.
.
.
“SAYA nak lagi seminit awak dah ada dekat bawah blok awak."

“Hah? Nak buat apa? Aku tak laratlah nak turun.” Tanya Isyraf dari hujung talian dengan suara yang serak.

“Jangan banyak bunyi boleh tak? Kalau awak sayang saya, awak turun! Assalamualaikum." Anis terus mematikan talian. 

Dia sendiri tidak sangka berani mengugut dengan perkataan sayang. Kang silap-silap dia betul tak turun padan muka kau. Kena reject dengan suami sendiri. Gila sadis.

Namun sangkaan Anis meleset apabila dia melopong melihat Isyraf sudah sedia di hadapan bloknya menanti Anis. Berbunga rasa hatinya. Eh, kejap! Kenapa tiba-tiba nak rasa berbunga pula ni? Jangan kata kau memang mengharap mamat senget ni cintakan kau? Hesh!

“Kenapa kau pakai mask? Tak sihat ke?” Tanya Isyraf sambil sesekali batuk.

“Taklah. Ini untuk elak orang kenal saya.” Anis memegang topeng muka yang dipakainya sambil memerhati sekeliling.

Seperti dijangka, pelajar-pelajar yang berjoging memandang pelik ke arahnya dan Isyraf. Tidak pastilah sama ada pelik melihatnya yang bertopeng muka atau melihat Isyraf bersama-sama seorang perempuan yang pelik.

“Apa-apalah. Kau nak apa ni?”

“Nah, ini ada bubur, ubat batuk, ubat demam dengan ubat selesema. Makan tau!” Pesan Anis tegas sambil menghulurkan beg yang terisi barang-barang tersebut.

Isyraf menyambut huluran beg itu. “Kenapa kau bagi aku semua ni?” Tanya Isyraf pelik.

“Awak demam, kan?”

Isyraf tersentak, “Mana kau tahu?"

“Kalau saya cakap saya ada psychic bukan awak nak percaya pun." Bohonh Anis.

Isyraf tersenyum senget, “Kau masak ke?” Tanya Isyraf tidak percaya sambil mengeluarkan bekas polistrin yang masih hangat itu.

“Tak adalah. Moi Sup Bang Din. Takkanlah nak pinjam dapur Bang Din pula masak."

“Aku ingat…” Kata-kata Isyraf terhenti apabila Anis tiba-tiba memegang dahinya. Kemudian pipi dan tengkuknya. 

Namun apabila menyedari tindakan spontannya itu Anis pantas menarik semula tangannya.

“Err… Sorry. Saya cuma nak rasa suhu badan awak. Boleh tahan panas juga. Emmm… Okaylah! Saya nak balik dulu. Jangan lupa makan ubat tau! Assalamualaikum." Anis dengan muka merah padam pantas melangkah pergi meninggalkan Isyraf yang diam-diam mula mengukir senyum.
.
.
.
.
.
“KORANG A7T2B, kan?”

“Hah? Haah." Anis yang sedang leka berborak dengan rakan sekelas di belakangnya terkejut apabila Qayyum sedang menegur mereka.

“Ini latihan bab 4 cikgu bagi untuk kelas korang. Tadi cari Afiq, Firdaus dengan Leong tak ada pulak." Qayyum menghulur nota kuliah yang dimaksudkan.

“Oh, terima kasih ya!” Anis tersenyum manis. Qayy ni salah seorang lelaki popular di kolej ni juga. 

Berbekalkan wajah baby face & bijak, Qayyum berada di kelasnya tersendiri di mata pelajar perempuan.

“Amboi, borak dengan Qayyum nampak!” Nina di belakang berbisik.

“Weh, comelnya dia!” Athirah menyampuk sambil memandang Qayyum dengan muka teruja.

“Dia duduk depan kau pula." Nina pula menambah.

“Mana aci!” Ujar Athirah tidak puas hati.

“Jangan jealous i dapat berborak dengan dia!” Bisik Anis sebelum Nina dan Athirah mengutarakan ketidakpuashatian mereka.

Tanpa Anis sedar, Isyraf sedang memerhatikannya dari bawah.
.
.
.
.
.
‘WAHHH… Mengantuknya mata. Penatnya badan. Cepatlah sampai blok!’ Anis mengomel di dalam hati. 

Sebelah tangannya membawa buku manakala lagi sebelah membawa bungkusan air yang dibeli di kafe.

Tiba-tiba bungkusan air Anis dirampas seseorang, “Ya Allah! Awak!”

“Yes, it’s me. Your beloved husband!” Bisik Isyraf sambil memegang tangan Anis.

“Ish, janganlah pegang tangan saya. Habislah kalau orang nampak!” Anis cuba untuk melepaskan tangannya dari genggaman Isyraf namun gagal.

“Biarlah." Jawab Isyraf selamba.

“Awak nikan dah lepas baik demam makin ligat nak cari pasal dengan saya ya? Lepaslah awak…”

“No way. Ini hukuman."

“Hah? Hukuman? Hukuman apa? Lepaslah. Orang tengoklah!” Anis sudah mula menutup mukanya dengan bukunya apabila berselisih dengan beberapa orang pelajar perempuan yang menjeling tajam ke arahnya. Mampus aku kalau ada roommates dengan classmates aku.

“Hukuman sebab awak ‘usha’ lelaki lain dalam kuliah!” Beritahu Isyraf.

“'Usha’ lelaki lain? Dalam kuliah? Siapa?”

“Qayyum. Pagi tadi saya nampak." Ujar Isyraf.

Anis ketawa tiba-tiba. Berkerut dahi Isyraf melihatnya, “Apa yang lawak?”

“Awak ni cemburu ke?” Tanya Anis mengusik.

Muka Isyraf tiba-tiba memerah, “Mana ada cemburu!”

“Kalau tak cemburu apa? Takkan awak dah jatuh hati dekat saya pula? Lupa ke janji kita dulu?”

“Janji apa?”

“Yalah. Kitakan dah janji tak nak jatuh cinta antara satu sama lain. Nak cari jodoh masing-masing. Takkan dah lupa?” Tanya Anis.

Muka Isyraf berubah, “Jangan cakap pasal janji tu buat masa sekarang boleh tak?”

Dahi Anis berkerut, “Macam tu pula?”

“Eh, meh air kau sikit!” Isyraf merampas air milik Anis yang dipegang sejak tadi.

“Eh, saya dah minumlah air tu!”

Isyraf terhenti. Dia memandang straw tersebut, “Dah minum? Jadi apa masalahnya?” Isyraf dengan selamba menyambung kembali menelan air tersebut. Dia dah minum lagilah aku suka.

Anis pelik dengan tingkah laku Isyraf. Mula-mula dia pegang tangan aku sampai ke sudah tak nak lepas. Lepas tu dia marah nampak aku ‘usha’ Qayyum dan dia marah bila aku bangkitkan soal janji tu. Lepas tu dia minum guna straw yang aku dah guna. Tak geli pula dia? Dia ni sihat tak?
.
.
.
.
.
“WAWA, tadi Nina cerita yang Isyraf tu dah ada makwe!” Rin yang baru saja pulang membuka cerita sambil duduk di katil Nad yang sudah berpindah ke KUIM.

“Hah? Mana hang tau ni?” Wawa yang tadinya leka menonton Running Man bersama-sama Anis, Aimi dan Tira menoleh. Anis yang berpura-pura tidak melayan memasang telinga.

“Betul! Dia kata tadi dia nampak Isyraf jalan pegang tangan dengan sorang perempuan ni tapi Nina tak perasan sangat muka budak tu." Cerita Rin. Anis menelan air liur.

“Hah, Tira baru teringat! Kawan Tira pun ada cerita yang dua hari lepas ada sorang perempuan pakai mask jerebu tu hantar makanan dekat Isyraf. Dengar cerita Isyraf demam masa tu. Perempuan tu siap pegang-pegang muka dia!” Cerita Tira pula.

Anis menggigit bibir, ‘Matilah aku kalau diorang tau itu aku!’

“Hmmm… Tengok! Bukan bagus sangat pun Isyraf tu. Siap boleh pegang-pegang dengan perempuan. Memang dasar playboy. Perempuan tu pun sama galak! Itu lelaki yang hang nak, Wawa?” Tanya Aimi.

Anis menjeling Aimi dalam diam. Berani kau kutuk aku dengan laki aku depan aku pula tu!

“Ah, aku tak percayalah! Dia baiklah. Aku kenal dia!” Wawa masih berkeras.

“Habis tu sampai berani pegang-pegang tangan. Dok biaq perempuan tu pegang muka dia. Bukan gatal namanya?” Soal Aimi masih menunjuk rasa tak berkenannya terhadap Isyraf.

“Perempuan tu agaknya yang galak." Wawa masih cuba membela Isyraf. 

Anis beralih menjeling Wawa pula.

“Tapi kalau tak dia pun melayan tak adalah perempuan tu terus galak. Lelaki ni semua sama tak boleh pakailah dalam dunia ni! Nak-nak budak Isyraf tu." Balas Aimi.

“Tak!” Jawab Anis dan Wawa serentak namun kemudian mereka berpandangan.

“Yang hang sama emo ni pasaipa, Anis?” Tanya Rin.

“Err… Tak, maksud aku ayat lelaki semua tak boleh pakai tu aku tak setuju. Ada aje lelaki yang baik, kan?” Anis pantas mencipta jawapan.

“Oh, ingat Anis pun dah suka dekat budak tu!” Ujar Tira.

“Haah. Mana tahu hang dah masuk kelab peminat dia kot." Tambah Rin pula.

“Eh, tak adalah! Merepek ajelah korang ni. Tak nak aku dengan budak tak semenggah macam tu. Dahlah, aku nak pergi mandi dulu ya!” Anis mencapai tuala dan baldinya sebelum melangkah keluar dari bilik. 

Tiba di luar dia mengeluh. Tak pasal-pasal dapat dosa pula kutuk suami sendiri.

“Anis, tunggu sat!” Wawa yang turut menggendong peralatan mandiannya memanggil Anis yang baru beberapa langkah menuju ke tandas.

“Awal hang mandi hari ni? Selalu malam pun belum tentu mandi." Perli Anis sambil berjalan beriringan dengan Wawa.

“Aku bengang Aimi asyik kutuk Isyraf tu aje. Sakit hati aku bila pakwe aku dikutuk sebegitu rupa." Ujar Wawa sedih.

“Pakwe? Perasan je kau ni." Anis tersenyum sinis.

“Eh, aku serius ni tau! Aku bagitahu kau sorang aje pasal ni." Ujar Wawa serius.

Anis memberhentikan langkah, “Kau bercinta dengan Isyraf ke?”

Wawa mengisyaratkan Anis supaya memperlahankan suara, “Aku cerita dekat kau sorang tau. Isyraf sebenarnya suka aku!”

Mata Anis terbeliak. Say whattt?!

“Dia selalu belanja aku coklat dengan aiskrim. Tiap-tiap hari dia akan tegur kalau nampak aku. Muka dia selalu ceria aje bila jumpa aku." Cerita Wawa.

“Dia… Dia pernah confess ke dekat kau?” Tanya Anis yang sedang cuba bersabar.

Coklat? Aiskrim? Aku cuma pernah dapat karipap pusing aje tau! Itupun Nasi Ayam aku kena rembat. Tegur aku? Heh, kadang-kadang tu buat-buat tak nampak lagi ada. Ceria? Selalu kena maki adalah. Kalau dia nak buat baik dengan aku pun tengoklah mood dia tu okay ke tak.

“Taklah sampai pernah confess. Tapi yalah, bila lelaki buat macam tu apa tujuan dia? Tak ke itu tanda dia suka kita? Perasaan aku kuat mengatakan tak lama lagi mesti dia confess. Kau ingat tak yang aku balik lambat dua hari lepas?” Tanya Wawa.

“Hah…? Jadi?” Anis teringat yang semalam sudah hampir jam 11 malam barulah Wawa pulang. Sangkanya Wawa merewang pergi bilik kawan-kawannya menonton drama Korea sebab Wawa memang suka merayau dari satu bilik ke satu bilik lepas tu kadang-kadang pukul satu atau dua pagi baru balik bilik.

Sebelum itu juga puas dia cuba menghubungi Isyraf kerana mahu bertanyakan perkembangan kesihatannya namun puluhan panggilan yang dibuat satu pun tidak diangkat. Takkanlah…

“Malam tadi aku berborak sakan dengan dialah! Dia belanja aku aiskrim Magnum pula tu! Kitorang lepak depan MM borak-borak sampai tak perasan dah pukul 11. Tau-tau nak kena halau dengan guard. Macam-macam benda dia cerita dekat aku. Bila aku pula bercerita seronok dia dengar." Cerita Wawa teruja sambil ketawa geli hati.

Anis terdiam namun dia hanya tersenyum untuk mengaburi mata Wawa. Wawa yang sedang dalam keadaan gembira itu melangkah masuk ke dalam tandas dengan hati yang riang.

Jadi adakah masanya akan tiba tak lama lagi? Adakah ini bermakna Isyraf sudah menemui gadis yang disukainya? Wawa kah orangnya? Kalau Isyraf serius, mungkin dia akan dimadukan atau diceraikan menurut kehendaknya. Jadi selama ini perubahan emosi Isyraf yang menjadi ceria bukan disebabkan Isyraf sudah jatuh hati kepadanya namun sebaliknya dia sedang bahagia bersama-sama Wawa.

Tapi kenapa hati aku rasa sakit sangat sekarang ni? Kenapa aku nak rasa marah? Memang sejak awal hubungan aku dan Isyraf tak ada apa-apa dan kami sudah berjanji tidak akan kisah kalau masing-masing mempunyai perasaan kepada orang lain. Ya Allah…. Serabutnya otak!
.
.
.
.
.
“EH, itu Isyraf kan?” Ujar Rin sambil menunjuk ke arah dalam Mini Market. Menjadi tabiat mereka setiap malam ahad selepas makan malam mereka berlima akan merayap ke bakeri yang terletak di sebelah Mini Market untuk membeli aiskrim.

“Hah, Isyraf?” Wawa mula teruja.

“Eee… Gediklah hang ni!” Aimi tidak senang melihat kelakuan Wawa itu.

“Biarlah. Tira, jom masuk MM." Wawa menarik tangan Tira. Tira yang berbadan kecil itu terpaksa menurut. Sedih mukanya bila niat asal mahu membeli aiskrim di bakeri tidak kesampaian.

Dari jauh, Anis, Rin dan Aimi dapat melihat Wawa berpura-pura menarik perhatian Isyraf dan Isyraf kemudiannya menegur Wawa. Wawa ada menunjuk ke arah mereka bertiga yang berada di luar Mini Market itu.

Mata Anis dan Isyraf bertembung tatkala Isyraf memandang mereka namun kemudian Isyraf kembali berbual rancak dengan Wawa. Tira yang menjadi mangsa melangkah keluar kembali dari Mini Market itu.

“Bukan main seronok Wawa tu bila nampak Isyraf. Sampai Tira pun dia lupa.” Cerita Tira bengang.

“Depa cerita apa?” Tanya Rin.

“Entah. Wawa yang banyak lebih bercerita yang kita ni baru lepas makanlah. Tadi kita semua makan apalah. Itupun bukan main seronok budak Isyraf tu mendengar." Cerita Tira.

“Aku tak suka betullah dengan jantan tu." Aimi yang memang anti lelaki menyampuk.

“Alaaa, biarlah diorang tu. Aku nak baliklah!” Anis yang tidak tahan rasa cemburu melangkah pergi.

“Eh, hang nak pi mana? Tak nak beli aiskrim ka?” Tanya Rin.

“Malas."
.
.
.
.
.
“HAI, sorang je?” Isyraf duduk di hadapan Anis yang sedang leka membuat kerjanya. 

Isyraf yang kebetulan turut membuat kerja bersendirian di perpustakaan itu sengaja mahu mengusik Anis yang juga bersendirian. 

Pada waktu malam perpustakaan itu memang susah untuk sunyi seperti waktu siang.

Anis hanya menjeling Isyraf tanpa menjawab apa-apa.

Isyraf mengerut dahinya, “Amboi, garangnya kau malam ni! Period ke?”

“Awak nak apa?” Soal Anis malas.

“Nak lepas rindu." Jawab Isyraf sambil tersengih.

Anis memandang Isyraf sekilas sebelum membalas, “Pergilah lepas rindu dekat girlfriend awak."

“Girlfriend? Buat apa nak ada girlfriend kalau ada wife?” Usik Isyraf.

Anis memandang sekeliling. Mujur tempatnya ini agak tersorok, “Dahlah, Isyraf. Saya tahu awak dah ada orang yang awak suka. Mengikut perjanjian kita, saya boleh pilih untuk awak madukan saya atau lepaskan saya.”

Riak wajah Isyraf berubah, “Apa kau cakap ni? Itukan benda dah lama.”

“Lama ke baru ke tapi memang itu yang awak beritahu saya. Kalau awak lupa saya boleh ingatkan. Awak memang ada beri saya pilihan sama ada mahu dimadukan atau dilepaskan kalau awak jumpa perempuan yang awak suka. Jadi kalau awak pilih nak dengan Wawa tu saya pilih nak awak lepaskan saya." Ujar Anis dengan riak yang cuba berlagak tenang.

Isyraf terkedu. Dia bingung dengan apa yang dikatakan Anis. Namun Anis kemudiannya mengemas buku-bukunya sebelum pantas beredar keluar dari perpustakaan itu.

“Nanti dulu, Anis!” Panggil Isyraf yang mengejar Anis.

Sebaik saja tiba di luar Isyraf terus mencapai tangan gadis itu menyebabkan buku-buku Anis bertaburan jatuh dan menarik perhatian pelajar yang lalu-lalang. 

Anis yang berasa malu dengan situasi itu pantas menutup mukanya dengan hood sweater yang dipakai.

“Apa yang kau cakap ni? Wawa? Apa kena mengena dia?” Soal Isyraf.

Anis menyentap tangannya sebelum mengutip bukunya dan memasukkannya ke dalam beg. Dia langsung tidak mahu memandang wajah Isyraf.

“Hey, I’m talking to you!” Isyraf menarik bahu Anis namun serentak pipi Isyraf pula menerima tamparan daripada Anis.

“Kalau tak pernah cintakan saya tak payahlah nak kisahkan saya!” Tengking Anis tanpa mempedulikan beberapa orang pelajar yang sudah mula berkerumun dan berbisik sesama mereka.

Namun Anis tidak bimbang kerana wajahnya tidak dapat dilihat dengan jelas waktu ini. Nasib baik dia memakai sweater tadi memandangkan perpustakaan ini memiliki kesejukan sedingin peti sejuk!

Isyraf terdiam sambil memegang pipinya apatah lagi melihat mata Anis yang sudah mula berkaca itu. Anis menggalas begnya sebelum melangkah pergi namun belum sempat dia melangkah lebih jauh, Wei Xin, rakan sekelasnya muncul.

“Eh, Anis! Dah nak balik?” Tegur Wei Xin yang baru tiba di perpustakaan itu.

“Emm…” Jawab Anis yang tidak mampu mengeluarkan suaranya kerana menahan tangis.

“Eh, you menangis kenapa?” Tanya Wei Xin yang perasan mata Anis yang sudah bergenang itu.

“Saya balik dulu Wei Xin." Ujar Anis sebelum pantas melangkah pulang ke bloknya.

Wei Xin memandang Isyraf yang baru dia sedar ada situ juga, “Eh, Isyraf! You yang buat dia menangis ya?!”

Isyraf terkejut apabila Wei Xin tiba-tiba memarahinya, “Ma… mana ada!”
.
.
.
.
.
SEBAIK saja tiba di biliknya, Anis terus merebahkan badan di katilnya. Rakan-rakan sebiliknya yang sedang membuat hal masing-masing memandang pelik melihat Anis yang hanya senyap itu.

“Awal balik, Anis?” Tegur Tira sambil duduk di katil sebelah Anis.

“Anis penat. Anis nak tidur." Anis membelakangi Tira.

“Eh, tak nak pergi toilet dulu ke?” Tanya Rin dari katil atas.

“Mengantuk sangat masa buat business tadi ni." Anis memberi alasan dan langsung tidak bergerak lagi.

Tira dan Rin kemudiannya membiarkan saja Anis apabila memutuskan mungkin rakan mereka itu benar-benar penat dan mengantuk. Mereka kembali membuat tugasan masing-masing. 

Yalah, malam-malam buat tugasan Pengurusan Perniagaan dekat perpustakaan yang sejuk macam tu siapa tak mengantuk?

Diam-diam Anis sebenarnya sedang berendam air mata. Sejak Wawa bercerita tentang keakrabannya dengan Isyraf, Anis jadi cemburu. 

Apatah lagi melihat Isyraf sendiri tersenyum manis dan ceria di hadapan Wawa. Sedangkan Isyraf tidak pernah tersenyum seperti itu di hadapannya.

Anis sendiri akhirnya terpaksa akui bahawa rasa cemburu itu membuktikan dia sebenarnya sudah jatuh cinta terhadap lelaki yang merupakan suaminya yang sah itu. 

Namun apakan daya, Isyraf sendiri sudah melarangnya jatuh cinta terhadap Isyraf. Isyraf memang berhak untuk mencintai perempuan lain. Dia hanyalah isteri di atas kertas dan bila-bila masa saja status itu boleh bertukar menjadi janda. Baru umur 19 tahun dah jadi janda? Sungguh sadis!

Hampir setahun di matrikulasi ini, hampir setiap hari Anis dan Isyraf akan bersua muka. Anis sendiri akui dalam tempoh ini dia semakin banyak mengenali sisi berbeza suaminya itu walaupun sejak kecil sudah sebumbung. 

Walaupun setiap pertemuannya dengan Isyraf bukanlah satu pertemuan yang meninggalkan memori indah namun setiap kali dia menemui lelaki itu dia akan berasa gembira dan bersemangat untuk melalui hari-harinya.

Jika Isyraf benar-benar mahu serius dengan Wawa, Anis tidak rela melihatnya maka lebih baik jika dia yang mengundur diri.
.
.
.
.
.
“HANG nak pi library lagi ka malam ni?” Tanya Wawa.

“Haah. Ada group discussion." Jawab Anis. Walaupun dia cemburukan Wawa yang mendapat perhatian Isyraf namun dia tidak menyalahkan Wawa kerana Wawa tidak tahu apa-apa tentang status sebenar mereka jadi tidak adil untuk dia menghukum Wawa pula.

“Nanti kitorang nak pergi MM. Hang nak ikut?” Tanya Aimi.
“Emm… Tak apalah. Aku takut habis lambat kang." Ujar Anis sambil menggalas beg.

“Hmm… tak apalah kalau macam tu. Pi elok-elok naa!”
.
.
.
.
.
MALAM ini ternyata Anis bertentang mata lagi dengan Isyraf. Panas hatinya tatkala melihat lelaki itu betul-betul berada di sebelah mejanya bersama-sama Afiq, Firdaus dan Haziq. Semak betullah!

“Kita pindah meja lain tak boleh ke?” Bisik Anis.

“Kenapa pula? Okaylah meja sini. Ini aje kosong dekat sini. Tempat lain tu bising." Ujar Nina.

Anis mendiamkan diri. Fokusnya benar-benar terganggu apabila menyedari mata Isyraf sedang merenungnya. Hish, mamat ni! Kalau dah kena korek biji mata tu nanti baru ada akal. Memang dasar mata keranjang.

Akhirnya perbincangan mereka tamat jua. Kebetulan sewaktu Anis dan rakan-rakannya mahu pulang, empat rakan lelaki mereka itu juga sudah selesai menyelesaikan tugasan mereka.

Mereka semua berjalan pulang ke blok masing-masing bersama-sama kecuali Isyraf yang katanya mahu membeli sesuatu di Mini Market. 

Namun Anis yang teringat bahawa rakan-rakan sebiliknya ada memberitahu mahu ke Mini Market lantas sedar yang Isyraf sebenarnya mahu menemui Wawa. Dah berjanjilah tu!

“Kau ni aku tengok dari dulu macam tak suka aje dengan Isyraf tu. Dah nak habis pun kita dekat sini. Kenapa hah?” Tanya Afiq. 

Kini cuma tinggal Anis, Haziq, Firdaus dan Afiq saja selepas menghantar rakan mereka yang lain di blok yang lebih hadapan.

“Aku cuma tak suka dia tanpa sebab. Tak perlu sebab pun kalau kita nak benci seseorang tu." Jawab Anis ringkas.

“Ke kau suka dia ni? Haaa…” Haziq mengusik.

“Eh, tolonglah! Geli aku nak suka lelaki muka jambu macam tu. Dahlah badan pun tak sado mana.” Kutuk Anis menahan geram sambil membayangkan Isyraf yang berwajah jambu dan kurus itu.

“Haha… Yalah tu. Okaylah, jumpa esok!” Haziq, Afiq dan Firdaus beredar apabila mereka sudah tiba di hadapan E4.

“Bye!” Anis melambai ke arah mereka sebelum melangkah ke bloknya.

Sebaik saja Anis mahu mendaki tangga, tiba-tiba tangannya ditarik seseorang sebelum dia diheret keluar dari bloknya. 

Namun Anis pantas mengenali identiti orang tersebut.

“Isyraf! Awak buat…” Mulut Anis kemudiannya ditekup oleh Isyraf menyebabkan suaranya tidak lagi kedengaran sebaliknya dia hanya meronta mahu melepaskan diri. Amat mengejutkan apabila kudrat Isyraf yang kurus itu sangat kuat untuk memaksanya mengikuti lelaki itu.

Malam hari biasa seperti itu tidak begitu ramai pelajar yang lalu-lalang di situ. Mungkin kerana semuanya sibuk di meja belajar atau di perpustakaan bagi menyiapkan tutorial masing-masing jadi tidak memiliki banyak masa untuk merayau-rayau. Apatah lagi peperiksaan akan menjelang tidak lama lagi.

Anis ditarik sehingga ke makmal komputer yang terletak di hadapan blok Anis.
.
.
.
.
.
“TAKUTLAH nak exam ni. Banyak lagi subjek tak cover." Keluh Aimi.

“Tak apa. Ada lagi masa ni. Insya-Allah kita semua boleh score." Ujar Tira.

“Eh, siapa tu?” Rin yang berjalan paling hadapan terhenti apabila melihat seseorang ditarik oleh seorang lelaki.

“Eh, itu Isyraf lah!” Wawa yang amat mengenali pengarang jantungnya itu pantas mengecam Isyraf.

“Dia tarik siapa tu? Astaghfirullahala’zim! Itu perempuan, kan?” Aimi sudah mengucap panjang.

“Dia nak buat apa tu?” Tanya Tira curiga.

“Hah, itulah jantan hang suka sangat, kan Wawa? Itu dia nak buat benda tak baiklah tu!”

“Jom tengok weh!” Rin sudah berlari mengikut jejak Isyraf tadi. 

Tiga rakannya itu juga turut mengikut langkah Rin. Mereka menyorok di belakang dinding dalam jarak tiga meter dari Isyraf.

“Isyraf!” Mereka mendengar suara perempuan yang diheret Isyraf tadi memekik.

“Hah, kan betul tu Isyraf!” Aimi berbisik sebelum Rin menyikunya supaya senyap.

“Awak nak apa lagi ni?” Marah perempuan itu sambil menolak bahu Isyraf.

“Kejap, suara tu…” Tira mula mengesan sesuatu.

Isyraf memegang tangan perempuan yang menolaknya itu, “Anis, kau ni kenapa hah?”

Melopong empat sekawan itu mendengar nama yang disebut Isyraf dan mereka kemudian mula menyedari perempuan yang berada dengan Isyraf itu ialah rakan sebilik mereka sendiri.

“I… itu… itu A… Anis, kan?” Bisik Rin tergagap-gagap.

Isyraf merenung mata Anis, “Kenapa kau tiba-tiba berubah ni? Kenapa tiba-tiba kau kaitkan Wawa? Aku tak ada apa-apa dengan dialah! Dia cuma kawan. Itu aje!”

Wawa tersentak apabila namanya tiba-tiba disebut. Lebih mengejutkan Isyraf sebenarnya hanyalah menganggapnya sebagai kawan. Adakah dia hanya bertepuk sebelah tangan? Tapi… apa kaitannya dengan Anis ni? Anis cemburukan dia dengan Isyraf? Tapi kenapa Anis tak pernah beritahunya? Dan… apa sebenarnya hubungan mereka berdua?

Anis tersenyum sinis namun matanya sudah mula berkaca, “Hari-hari jumpa bergelak ketawa. Eh, saya sendiri nampaklah hari tu bukan main senyum lebar awak bila jumpa dia dekat MM hari tu! Kalau awak dah ada perempuan yang awak suka, awak lepaskan ajelah saya. Lupa ke janji kita dulu tu?”

“Pergi matilah dengan janji bodoh tu! Kau faham tak yang aku cintakan kau?!” Tengking Isyraf membuatkan Anis terdiam dengan rasa terkejut bercampur takut.

Isyraf menunduk untuk menenangkan dirinya seketika sebelum dia kembali memandang mata Anis. Lama dia merenung mata itu sebelum memegang lembut pipi gadis itu.

“Aku minta maaf tengking kau. Aku cuma nak kau tahu, senyum aku yang kau nampak tu adalah senyum kerana aku bahagia dapat jumpa kau. Kau tahu tak betapa gelisahnya aku bila tak nampak kau sehari? Betapa aku rindunya aku nak tengok muka kau setiap saat? Aku akui memang aku rapat dengan Wawa tapi kalau kau tanya dia apa yang kitorang borakkan, kebanyakannya adalah pasal kau. Sekurang-kurangnya kalau aku tak nampak kau, biarlah aku tahu apa yang kau buat. Kau sihat ke tak? Kau happy ke tak?”

“Aku tahu yang aku dah larang kau cintakan aku. Tapi ini semua takdir Allah, Anis. Dia titipkan rasa cinta dia terhadap isteri aku sendiri. Aku dah jatuh cinta dekat isteri aku sendiri."

Anis terkesima. Isyraf tersenyum, “Aku tahu kau pun rasa benda yang sama, kan? Sebab tu kau marah dan cemburu. Betul tak?”

Anis tidak menjawab sebaliknya menunduk. Air matanya jatuh. Isyraf mengesat pipi Anis yang dibasahi air mata itu, “Jadi tolong jangan pernah minta lagi aku lepaskan kau sebab aku akan cintakan isteri aku ni sorang aje sampai mati.”
.
.
.
.
.
“HOI! Korang buat apa ni?!”

Anis dan Isyraf terkejut apabila tiba-tiba satu suara menyergah sebelum mereka disuluh dengan lampu suluh. Serentak itu kedengaran satu suara pula menjerit dari arah bertentangan.

“Siapa tu?!” Pekik lagi Encik Faizal, yang bertugas malam itu.

Tatkala cahaya lampu suluh itu berpindah ke arah suara yang menjerit itu Anis terkejut melihat empat orang yang amat dikenalinya sedang tersembam di situ. 

“Korang…”
.
.
.
.
.
“JADI kamu berempat ni mengendap mereka berdua yang buat perangai tak senonoh inilah, ya? Dan Anis tu pula ialah roommate kamu semua?” Encik Faizal menyoal Tira, Rin, Aimi dan Wawa. Isyraf menjeling marah kepada Encik Faizal apabila dituduh sebegitu rupa.

Mereka berempat mengangguk tanpa berkata sepatah.

“Awak semua sepatutnya laporkan kepada felo bertugas! Bukannya seronok tengok free show!” Marah Encik Faizal.

Mereka berempat yang takut dimarahi itu hanya mendiamkan diri.

Encik Faizal memandang Anis dan Isyraf, "Kamu berdua ni tahu tak yang kamu berdua dah melanggar peraturan kolej ni? Bukan setakat peraturan kolej tapi peraturan Allah juga!"

Telinga Isyraf yang sudah bertukar merah itu tidak dapat menahan lagi tomahan yang dilempar ke arahnya, “Tak ada istilah melanggar peraturan Allah jika suami berjumpa dengan isterinya yang sah!”

Semua yang ada dalam bilik itu terbeliak mata mendengarnya. Anis pantas memegang lengan Isyraf, “Awak!"

“Is… isteri?” Soal Encik Faizal tidak percaya. 

Empat rakan sebilik Anis itu juga kelihatan terkejut walaupun mereka sudah mengetahuinya tadi. Mungkin mereka mengandaikan telinga mereka bermasalah tadi tapi apabila Isyraf memekikkan benda yang sama maka terbuktilah telinga mereka masih berfungsi dengan baik selama ini.

“Awak bergurau ke? Mana boleh ada pelajar matrikulasi yang berkahwin! Ini melanggar peraturan yang sudah ditetapkan!” Ujar Encik Faizal tidak berpuas hati.

“Kami ada bukti sijil nikah yang sah dan saya boleh tunjukkan kepada encik nanti. Saya tahu kami salah tapi kami ada sebab sendiri. Kami dah bernikah sejak sebelum masuk matrikulasi lagi tapi selain keluarga terdekat tak ada siapa yang tahu. Encik Faizal boleh hubungi keluarga saya kalau tak percaya.” Ujar Isyraf.

Encik Faizal sudah terduduk kerana tidak percaya dengan apa didengarinya.

“Kami minta maaf. Kami tahu yang kami dah langgar peraturan tapi tak ada siapa pun yang tahu kami sudah berkahwin. Kami juga tak pernah buat apa-apa sebelum ni. Tolonglah jangan kenakan apa-apa tindakan kepada kami. Exam pun dah tinggal berapa bulan saja lagi. Benarkanlah kami habis pengajian di sini dahulu!” Rayu Anis.

“Saya kena berbincang dahulu dengan pihak atasan." Jawab Encik Faizal yang akhirnya membuka mulut sebelum melangkah ke mejanya untuk mengambil buku laporan.

“Encik Faizal, hujung minggu ni ada perlawanan persahabatan bola sepakkan?” Soal Isyraf tiba-tiba.

Kening Encik Faizal terangkat, “Ya. Jadi?”

“Saya ni salah seorang pemain pasukan kita. Kalau saya dikenakan tindakan macam mana dengan nasib pasukan kita?” Isyraf membuka cerita.

“Tapi perlawanan tu hanya perlawanan persahabatan aje, kan? Tak salah kalau awak digantikan dengan orang lain." Jawab Encik Faizal selamba.

“Memang ia cuma perlawanan persahabatan tapi game kali ni kami akan berlawan dengan pelajar dari luar negara dan ini game terakhir kami sebelum kami tamatkan pengajian. Saya dengar ada pihak media nak datang tengok. Jadi takkan pasukan kolej kita nak mempamerkan permainan yang hambar, kan? Malulah nama kolej kita. Lagipun sebenarnya, saya ialah kapten pasukan. Saya ada banyak strategi untuk dikongsikan tapi kalau Encik Faizal nak hantar nama saya dekat pihak atasan, berkemungkinan besar saya dikenakan tindakan dan menyebabkan saya tak dapat turun bermain.”

Encik Faizal terdiam.

Memang pasukan bola sepak mereka antara pasukan terkuat di antara kolej matrikulasi malah pengetua pun menyimpan harapan besar mereka berjaya memenangi perlawanan persahabatan yang menjadi perlawanan terakhir pelajar sesi ini.

Isyraf sudah tersenyum apabila Encik Faizal dengan kata-katanya. 

Anis pula menoleh memandang rakan-rakan sebiliknya. Aimi menjeling tajam ke arahnya. Rin tiba-tiba berubah minat terhadap dinding bilik itu dengan melarikan pandangan. Wawa hanya menunduk memandang kaki. Tira pula memandangnya dengan pandangan kecewa sebelum beralih memandang tempat lain.

“Saya juga harap isteri saya dan rakan-rakannya tidak dikenakan apa-apa tindakan. Kami tahu kami salah. Kami mengaku. Tapi kami masih nak meneruskan pengajian di sini. Kami janji kami takkan timbul masalah dan akan dapatkan keputusan terbaik dan Encik Faizal takkan menyesal buat keputusan untuk melindungi kami." Janji Isyraf yakin.
.
.
.
.
.
ANIS bersyukur sangat-sangat apabila Encik Faizal bersetuju untuk melindungi mereka demi kebaikan bersama termasuklah demi menjaga imej kolej mereka. Mereka juga terpaksa berjanji macam-macam untuk meraih kepercayaan felo mereka itu. 

Namun Anis masih memiliki satu masalah yang masih belum selesai – rakan sebiliknya.

“Korang, janganlah macam ni. Aku minta maaf." Ucap Anis namun ucapannya itu langsung tidak disambut oleh seorang pun rakannya itu.

Sejak pulang ke bilik tadi semuanya melekat di meja studi dan berlagak tekun menyelesaikan kerja masing-masing termasuklah Wawa yang biasanya masa lapangnya hanya tidur saja. Lebih teruk semuanya menyumbat telinga dengan earphone masing-masing. 

Tira lagi dahsyat, dengan headphone di kepala, kepalanya turut terangguk-angguk mengikut rentak lagu.

“Rin, aku minta maaf…” Anis memegang bahu Rin namun Rin menepis tangan Anis. Anis tersentap apabila Rin dengan dingin menepis tangannya.

Anis beralih kepada Aimi. Dia turut memegang lembut bahu Aimi, “Aimi…”

“Wawa, kenapa aku rasa bahu aku ni macam berat? Hang letak batu ka?” Tanya Aimi tiba-tiba kepada Wawa yang berada di sebelahnya.

“Dak aiiihhh… Hang rasa berat pasal ada tangan penipu dekat bahu tu. Orang menipu ni banyak dosa. Baik hang tepis cepat macam Rin buat." Jawab Wawa selamba.

Aimi turut melakukan perkara yang sama. Tangan Anis ditepis sekasar mungkin.

Anis tiba-tiba menjadi hilang sabar. Dengan rasa bengang dia menarik earphone di telinga Aimi.

“Weh, hang pasaipa?!” Tengking Aimi sambil menolak kasar kerusinya sampai tergolek kerusinya itu. 

Wawa juga sudah turut berdiri. Tira dan Rin pula sudah menoleh sambil membuka headphone dan earphone masing-masing.

“Aku tahu korang marah. Memang aku tipu korang. Tapi tak boleh ke korang dengar explanation aku? Janganlah buat aku macam tunggul." Rayu Anis.

“Oh, kami buat hang macam tunggul? Habis selama ni kami kena tipu dengan hang hidup-hidup bukan setakat macam tunggul tapi dah macam batu tepi jalan. Tak ada yang peduli." Marah Aimi.

“Hang mesti seronoklah kan gelakkan aku diam-diam selama ni bila aku dok tergedik-gedik dengan Isyraf sedangkan dia laki hang. Hang memang saja nak tengok aku syok sendiri cerita yang konon Isyraf tu suka aku, ada hati dekat aku sedangkan hang tau dia dah kahwin dan isteri dia ialah hang! Memang aku bodoh tak sedar yang selama ni dia borak pasal hang aja. Aku cuma fikir seronok dapat borak dengan dia. Seronokkan dapat mempermainkan kawan sendiri?” Perli Wawa sinis dengan mata berkaca jelas mempamerkan kekecewaan hatinya.

Air mata Anis tiba-tiba menitis, “Aku tak pernah terfikir pun nak mempermainkan kau. Mempermainkan kawan-kawan aku ni semua. Keadaan yang membuatkan aku tak dapat berterus-terang. Ikutkan aku memang nak cerita tapi risiko dia terlalu tinggi.”

“Kitorangkan kawan Anis. Kenapa Anis tak boleh percayakan kitorang?” Soal Tira pula serius. Tidak pernah dia lihat wajah Tira serius seperti itu.

“Hal ni terlalu peribadi. Bukan soal percaya atau tidak tapi hal ni melibatkan keluarga Isyraf juga. Diorang amanahkan Anis jangan beritahu sesiapa. Buruk padahnya kalau sampai ada orang lain tahu. Kalau sampai orang tahu memang Anis kena buang matriklah cerita dia. Anis tak ada pilihan lain selain simpan aje rahsia ni.” Jelas Anis.

“Habis dengan kami pun hang tak percaya? Kami kawan baik hang. Tidoq pun sampai tahap sebantal kadang-kadang tu. Apa gunanya kawan kalau tak saling mempercayai?” Soal Rin tak puas hati yang memang kadangkalanya tidur sebantal dengan Anis apabila mereka tidur di lantai dengan membawa turun tilam. 

Dia, Anis dan Aimi memang biasa tidur bertiga beralas tilam di lantai. Rin yang memang lasak tidur ada kalanya sampai tidur di atas perut Anis!

“Aku tak maksudkan hangpa semua tak boleh dipercayai. Korang kawan yang paling aku boleh percayai yang pernah aku jumpa. Korang bukan macam batu tepi jalan tapi macam permata yang tidak ternilai harganya. Cuma hal ni melibatkan amanah keluarga Isyraf. Bila dah nama amanah, berdosa jika aku tak laksanakan. 

Apatah lagi Isyraf pun minta aku rahsiakan. Dia suami aku. Aku kena taat dengan arahan dia. Aku boleh jatuh nusyuz kalau ingkar." Jelas Anis lagi dengan tegas.

Keempat-empat rakannya tidak berkata apa-apa namun kelihatan terkesan dengan kata-kata Anis itu apatah lagi apabila Anis mengakui mereka ialah rakan yang paling dipercayainya.

“Aku tahu kalau korang masih tak boleh terima maaf aku ni. Aku tahu memang sakit bila kita kena tipu hidup-hidup. Tapi percayalah, selama ni bila hal Isyraf timbul aku sentiasa diselubungi rasa bersalah yang kuat. Aku nak sangat berterus-terang tapi keadaan tak mengizinkan aku. Aku sayang korang sangat-sangat. Koranglah kawan paling berharga yang pernah aku jumpa. Kalau boleh aku tak nak hubungan kita putus macam ni. Tapi kalau korang still tak boleh maafkan aku. Aku faham. Tak apalah. Aku boleh minta tukar bilik kalau korang nak. Stay dekat bilik kosong pun aku tak kisah kalau korang tak nak tengok muka aku. Kita pun bukannya lama lagi dekat sini.”

Anis sudah melangkah mahu meninggalkan ruangan belajar itu namun tiba-tiba Tira bersuara, “Betul ke kami ni macam permata bagi Anis?”

Anis tersenyum sebelum mengangguk, “Permata yang tiada penggantinya. Terlalu bernilai.”

“Tapi Anis sekarang dah jadi isteri orang. Kami semua ni masih lagi budak-budak mentah. Siapalah kami nak berkawan dengan isteri orang macam Anis." Tambah Tira.

Anis tersenyum. Air matanya jatuh lagi. Pantas dia mendapatkan Tira dan memeluk rakannya itu, “Status isteri tak bermakna Anis tak boleh kawan dengan korang. Korang tetap kawan terbaik Anis. Anis sayang korang sangat-sangat."

Tiba-tiba Anis merasakan ada tangan lain pula menyentuh bahunya. Rin sudah mendekatinya, “Aku minta maaf marah hang tadi.”

Wawa pula menepuk bahu Anis, “Aku minta maaf pasai selalu goda laki hang."

Anis ketawa kecil. Dia memandang Aimi pula. Aimi memandang Anis seketika sebelum melarikan pandangan, “Aku tak ada salah apa kat hang. Tapi aku terimalah maaf hang tu.”

Mereka semua ketawa sebelum semuanya saling berpelukan. Anis memanjat kesyukuran ke hadrat ilahi apabila akhirnya rakan-rakannya itu memaafkannya. Rakan-rakannya itu sangat berharga baginya. Mungkin lepas ini tiada lagi rakan-rakan seperti mereka. Walaupun pelbagai perangai tapi jauh dalam sudut hati mereka sebenarnya saling menyayangi antara satu sama lain.
.
.
.
.
.
“JADI kawan-kawan awak dah maafkan awaklah?” Tanya Isyraf sambil menghirup air limaunya.

“Emmm... Alhamdulilah diorang boleh maafkan saya." Anis memandang rakan-rakan sebiliknya yang duduk selang satu kerusi darinya. 

Mereka juga baru selesai menikmati makan tengahari di Kafe Bang Din itu dan sedang berbual sesama mereka. Disebabkan Isyraf berkeras mahu turut serta terpaksalah dia membenarkan Isyraf turut serta walaupun ada beberapa mata memandang tidak puas hati.

Isyraf turut memandang mereka. Kebetulan Wawa turut memandangnya. Pantas Wawa menundukkan pandangannya sebelum cepat-cepat menghirup minumannya. 

Aimi yang perasan mencebik, “Anis, suruh laki hang ni pandang tempat lain!”

“Aimi, hang nak mampuih ka?” Rin menyepak kaki Aimi dari bawah meja.

“Orang pandanglah Aimi." Tira pula sudah menyorok muka menahan malu apabila ada beberapa orang memandang pelik ke arah mereka. 

Anis dan Isyraf sama-sama sudah berpeluh dingin.

“Errr... Apa dia? Aku cakap kawan lelaki hang. Yalah, Isyraf nikan classmate dia. Lelaki dengan laki sama ajelah, kan?” Aimi pantas mengubah kata-katanya.

Anis pula terpaksa tersengih sambil terangguk-angguk sebelum mendekatkan mukanya kepada Aimi yang duduk selang satu kerusi darinya. Dia berbisik perlahan, “Hang bocor rahsia aku, aku tanam hang hidup-hidup!”
.
.
.
.
.
“HAIH… Kenapalah banyak sangat kerja Cikgu Hafiz kasi ni! Berbatang-batang pen habis dakwat menghadap subjek dia aje. Dia nak sponsor pen tak apa juga." Omel Anis agak kuat. Mujur mereka di kafe. Bolehlah dia nak cakap kuat.

Mahu duduk di library, tak tahan pula kesejukan melampau perpustakaan itu sehingga membuatkan Anis tertanya-tanya mengapa masih tiada salji di dalam perpustakaan itu sedangkan suhunya sudah terlalu sejuk!

“Biasalah tu. Bukan Cikgu Hafiz namanya kalau kerja sikit. Dahlah study week pun dia nak buat kelas. Obses kerja betul cikgu kita tu." Omel Faten pula sambil disambut anggukan Athirah. 

Nina pula sudah hanyut dalam dunia peta minda subjek Pengurusan Perniagaannya yang berkerawang di sana sini di atas kertas berwarna-warninya. Marina di sebelah pula sedang membuat subjek matematik. Katanya subjek Pengurusan Perniagaan sudah disiapkan malam tadi. Tak tidur agaknya budak rajin ni.

“Hai, korang!"

Kelima-lima mereka mengangkat muka sebaik mendengar teguran seseorang. 

“Oh, Isyraf." Sambut Athirah. 

Anis sudah menahan senyum melihat suaminya itu tiba-tiba muncul. Tiba-tiba badannya terasa cergas pula!

“Korang mesti penat, kan? Ni aku belanja air." Isyraf mengeluarkan beberapa tin air dan diberikan setiap seorang satu.

“Wah… Baiknya kau! Terima kasih!” Ucap Nina sambil rakus membuka tin airnya sebaik saja menerima airnya.

“Sama-sama." Jawab Isyraf sambil membuka air tin yang terakhir dan diberikan kepada Anis.

“Eh, kenapa kau bukakan yang Anis punya je?” Tegur Faten.

Anis dan Isyraf sama-sama terpaku sebelum saling berpandangan, “Err…”

“Oh… korang ada apa-apa ya? Anis, sampai hati tak story yang korang dah ada special relationship! Sebelum ni bukan main benci, ya?” Athirah tiba-tiba membuat andaian yang tanpa diketahuinya memang tepat 100%!

“Eh, mana adalah! Tak ada maknanya. Kitorang tak ada apa-apalah! Isyraf, kau sebenarnya saja aje bukakan air ni untuk aku kan? Tak ada niat lain, kan?” Soal Anis pantas kepada Isyraf.

Semua mata kini beralih memandang Isyraf, “Err… Aku… Aku… Aku sebenarnya tak belikan pun untuk Anis ni. Buat membazir duit aku aje. Air ni aku buka sebab aku nak minum!” Isyraf pantas menarik air tin di tangan Anis dan diteguknya.

“Weh, kenapa untuk aku tak ada pula?” Soal Anis.

“Sebab aku tak suka kau. Okay, bye! All the best semua untuk exam!” Isyraf pantas meninggalkan mereka dengan mengambil semula air tin yang diberikan kepada Anis tadi. 

'Sorry, sayang!’

“Isyraf!” Pekik Anis namun Isyraf terus pantas meninggalkan kafe itu.
.
.
.
.
.
“ALAAA... Janganlah marah sangat! Nasib baik saya dapat cover tau. Kalau sampai kantoi tak ke naya? Ingat tau kita ni nak final exam. Roommates awak tahu boleh cover lagi. Kalau classmate ni bukan tak boleh percaya tapi risiko dia lebih tinggi sebab classmates ni lagi ramai." Pujuk Isyraf dari hujung talian.

“Yalah tapi awak buat macam tu tadi malu saya tau!” Ujar Anis tidak puas hati.

“Masa tu spontan ajelah. Saya tak tahu nak cover macam mana dah. Jadi terpaksalah saya buat macam tu."

“Yalah tu. Habis kempunan saya nak Justea tau!” Anis mencebik sambil bermain-main dengan penyepit baju di ampaian.

“Okay. Lepas ni saya belikan awak sedozen air Justea tu, ya?” Pujuk Isyraf lagi.

“Dahlah. Sampai habis exam saya tak nak jumpa awak!” Rajuk Anis.

“Alaaa... Janganlah macam ni! Saya mana boleh hidup tanpa tengok muka isteri saya ni. Rindu 3 juta peratus tau!”

“Hah, pandailah tu nak mengayat! Tak ada. Sampai habis exam, saya nak buat peraturan kita tak boleh jumpa. Call pun tak boleh. Apa-apa hal whatsapp or wechat or text only. Faham?” Anis membuat keputusan.

“Takkan awak marah sangat sampai macam ni. Saya minta maaf dah kan?”

“Ini bukan soal tadi tu. Tapi kita ni kan nak exam. Kalau kita asyik habis masa berjumpa, bergayut macam ni bilanya nak study. Lagi beberapa hari kita nak exam lepas tu kita habis matrik boleh jumpa hari-hari, kan?” Jelas Anis.

“Haaah, kan? Tiap-tiap pagi nampak muka awak dulu. Wah, seronoknya! Boleh dapat morning kiss tak?”

Anis ketawa kecil, “Eee… Gatal! Dahlah. Ingat peraturan ni tau. Kita tak boleh berjumpa dan bergayut macam ni untuk masa beberapa minggu ni. Kalau texting pun tak boleh lama-lama. Saya nak fokus belajar. Awak juga nak kita sama universiti nanti, kan? Awak tu lainlah cerita. Memang dah tersedia lebih bijak bestari.”

“Well. Nama pun husband. Kenalah lebih dari isteri. Hmm… Yalah. Tapi saya nak buat satu permintaan boleh sebelum kita dikuarantinkan tak boleh bergayut dan berjumpa lagi?”

“Apa dia?”

“Can you… Call me… Abang?”

Wajah Anis tiba-tiba terasa panas, “Hah?”

“Errr... Saya teringin nak dengar awak panggil saya ‘abang’. Yalah. Macam other married couple buat.” Ujar Isyraf malu-malu.

Anis tersenyum, “Yalah…. Abang.”

“Wahhh! Bahagianya saya dengar! Ini yang semangat nak study ni!” Isyraf jelas bernada teruja dari hujung talian.

Anis ketawa, “Hah, puas dah kan? Sekarang abang pergi study, ya? Saya pun nak study ni!”

“Okay! Assalamualaikum, sayang.”

Anis tersenyum malu, “Waalaikumussalam, abang.”

Anis memerhatikan telefon sebelum ketawa kecil sendiri. Namun tiba-tiba kedengaran suara orang berdehem yang kuat dari dalam bilik. 

Apabila Anis menoleh, rakan-rakan sebiliknya sedang berdiri di tingkap dari dalam bilik sambil menghadapnya.

“Oi, orang kat luaq!” Tegur Aimi.

“Tak reti-reti masuk dalam kaa?” Tegur Wawa pula.

“Bukan main lama dok gayut." Rin pula menyampuk.

“Exam minggu depan aje ni." Tira pula menyambung.

Anis tergelak melihat kawan-kawannya itu, “Yalah! Orang nak masuk dah ni!”
.
.
.
.
.
ANIS membuka matanya perlahan-lahan apabila terdengar namanya dipanggil. Rupanya Aimi yang mengejutkannya.

“Apa dia, Aimi? Aku cutilah. Tak solat." Ujar Anis sambil menarik selimutnya apabila terasa dingin pagi itu menggigit kulitnya.

“Aku tau hang tak solat. Tu, ada delivery untuk hang dekat luar tu." Beritahu Aimi.

Mata Anis terbuka luas. Dia menoleh memandang Aimi, “Delivery?”

“Baik hang pi ambil sebelum Mamu kencing pula kat situ." Ujar Rin pula yang baru kembali dari tandas dengan muka yang basah dengan air wudhuk. 

Mamu di sini merujuk kepada kucing jantan bulu kembang comel yang kerap muncul di aras mereka. Entah apalah nama kucing itu sebenarnya namun apabila sampai pada Rin, terus diletaknya nama ‘Mamu’! Ada seekor lagi kucing betina diletaknya nama ‘Chombi’.

“Tira tersadung benda tu tadi masa keluar. Dahlah tengah mamai. Nasib baik tak tersungkur ke lantai pagi-pagi buta ni." Beritahu Tira pula yang muncul dengan telekung merah jambunya sambil memegang sejadah.

“Baik hang pi ambil cepat. Aku nak pi kejut Wawa. Payah betul budak tu nak bangkit!” Omel Aimi sebelum meninggalkan Anis.

Anis turun dari katil dan menuju ke arah pintu di bahagian tempat tidur Aimi, Tira dan Wawa kerana pintu di bahagian tempat tidurnya dan Rin sudah rosak dan tidak boleh diguna. Selalu sangat kena hempas penangan angin agaknya. Maklumlah bilik mereka terletak di tengah-tengah blok jadi angin memang selalu akan terus memasuki bilik mereka. Ada bilik budak lelaki dekat blok C3 lagi parah. Pintu tercabut lepas tu hilang. Dahsyat….

Terbeliak matanya tatkala melihat sedozen air tin Justea di hadapan biliknya itu beserta dengan sepucuk surat.

“Fuyyyooo! Beli sedozen air tin nampak." Tegur Alia, penghuni bilik sebelah yang juga baru kembali dari tandas.

Anis hanya tersengih kerana tidak mampu menjawab apa-apa. Selepas Alia sudah melangkah masuk ke dalam biliknya, dia membuka surat itu.

'Ini ganti air semalam. Hope sayang tak marah abang lagi. Selamat menjamu selera dan all the best for our exam ni. Buat yang terbaik okay? I love you.
- Your handsome husband.

P/s: Abang yang hantar sendiri air ni pukul empat pagi tadi. Nasib baik tak kena tangkap dengan guard. Hehe!'

Anis tersenyum lebar membaca bait-bait kata di dalam surat itu. Tidak disangka suaminya itu seberani ini.

“Korang, air free untuk semua!” Pekik Anis sambil mengangkat sedozen air itu masuk ke dalam bilik.
.
.
.
.
.
“HABIS!!!” Anis memeluk Rin sebaik saja dia bangkit dari tempat duduknya. Kebetulan tempat duduk Shud berdekatan dengannya ketika peperiksaan berlangsung. Jadi dapatlah dia peneman.

“Tapi soalan tadi tu susah sangatlah. Aku takut tak dapat score." Rin meluahkan kegusaran hatinya.

“InsyaAllah okay, Rin. Kau dah berhempas-pulas study sampai nak termuntah-muntah, kan? Sekarang ni doa ajelah kita dapat result yang baik. Kita dah usaha. Sekarang tawakkal ajelah." Pesan Anis.

“Hmm… Yalah. Eh, hang nak jumpa classmates kan? Jangan balik lambat. Tira tu mak bapak dia dah datang." Beritahu Rin.

“Oh, haah! Hmm… Tak lama kot. Tak apa. Tak apa. Nanti aku cuba balik cepat." Jawab Anis.

“Okay. Jumpa kat bilik naa… Aku nak pi beli makanan dengan Dini." Ujar Rin sebelum berlalu pergi mendapatkan Aimi yang tempat duduknya agak jauh dari mereka walaupun tempat peperiksaannya sama iaitu di Dewan Sri Khayalan.

Anis memanjangkan kepala mencari rakan sekelasnya iaitu Faten dan Athirah yang juga memiliki tempat peperiksaan yang sama tetapi berbeza bahagian. Dari kejauhan dia sudah ternampak Athirah dan Faten bersama-sama beberapa orang rakan sekelas mereka.

“Athirah!” Panggil Anis sambil mengangkat tangan kerana kedudukan mereka agak jauh dan pelajar di dalam dewan ini pula masih lagi ramai apatah lagi dengan adegan jejak kasih dan acara bersalaman serta mengucap selamat tinggal di sana sini.

Athirah menoleh apabila namanya dipanggil. Sebaik terlihat Anis, dia turut mengangkat tangan tanda menyahut panggilan Anis namun tiba-tiba dia lihat Anis ditarik pergi oleh seseorang.

“Aik, kenapa tiba-tiba hilang Anis ni? Tadi dia ada." Ujar Athirah.

“Eh, tu dekat pintu sana tu Anis, kan? Siapa tarik dia tu?” Faten sudah mula mengecilkan mata cuba mengenali orang yang menarik Anis.

“Macam Isyraf aje." Ujar Alia pula.

“Hah? Isyraf? Ya ka?” Ulang Wei Xin tidak percaya.

“Kenapa Isyraf tarik Anis?”

“Hoi, korang tengok apa?” Tanya Afiq yang baru tiba di hadapan dewan itu kerana tempat peperiksaannya agak jauh dari rakan-rakan lain.

“Haah. Bukan main khusyuk nampak." Balas Aisya yang tiba kemudiannya sambil diikuti Suraya.

“Kitorang nampak Isyraf tarik Anis pergi. Tadi dia beria-ia panggil aku tapi tiba-tiba dia blah macam tu aje bila Isyraf tarik dia." Cerita Athirah.

“Hah? Isyraf tarik Anis? Dia nak buat apa dengan Anis?” Tanya Firdaus bersungguh-sungguh.

“Kau tak payah nak overactinglah, Daus. Sepak kang." Alia sudah menyua belakang tapak tangannya. Firdaus sudah mencebik.

“Jom tengok nak?” Ajak Nina.
.
.
.
.
.
“EH, awak! Berhenti!!” Anis memukul tangan Isyraf yang sedang menarik tangannya namun Isyraf langsung tidak menunjukkan tanda-tanda mahu melepaskan pegangannya dan terus mengheret Anis sehinggalah mereka tiba di bawah tangga di hadapan dewan kuliah. 

Anis menyentap kuat tangannya apabila Isyraf akhirnya berhenti mengheretnya.

“Ish, awak ni kenapa heret-heret saya tiba-tiba macam tu? Orang pandang tahu tak?” Bebel Anis. Memang tadi banyak mata memandang adegan tangannya digenggam erat oleh Isyraf dan diheret laju.

“Biarlah orang pandang. Bukan kita buat benda berdosa pun." Balas Isyraf selamba.

“Awak ni, kan… Saya tadi tengah nak jumpa kawan-kawan kita tau. Awak boleh main tarik macam tu aje tadi. Tak ada signal tak ada apa! Kalau diorang nampak habis kita!”

“Dah habis dah bebel?” Tanya Isyraf malas.

Anis mencebik, “Awak nak apa? Lepas ni memang kita nak balik sama pun, kan? Apa-apa hal bincang lepas nilah.”

Isyraf tersenyum kemudian tiba-tiba dia menarik Anis dan memeluk gadis itu ke dalam dakapannya, “Abang rindu sangat dengan Anis. Dua minggu susah nak tengok muka. Susah nak dengar suara. Sayang tak rindu ke dengan abang? Sampai hati sayang marah-marah abang pula.”

Hilang marah Anis tiba-tiba apabila berada di dalam dakapan suaminya. 

Anis tersenyum mendengar kata-kata Isyraf sebelum dia turut membalas pelukan suaminya itu, “Alaaa… merajuk pula abang ni. Anis pun rindukan abang. Tapi abang janganlah sedih. Lepas ni hari-hari abang boleh tengok muka Anis. Boleh dengar suara Anis.”

Isyraf melepaskan pelukannya. Dia mencuit hidung Anis sebelum menggenggam tangan isterinya itu, “Lepas ni bolehlah kita hidup macam pasangan suami isteri lain, kan?”

“SUAMI ISTERI?!”

Anis dan Isyraf yang terkejut dengan sergahan itu pantas menoleh dan melepaskan pegangan tangan mereka. 

Terbeliak mata mereka berdua melihat rakan-rakan kelas mereka hanya kurang lima meter saja dari mereka.

“Se… Sejak bila korang… Dekat situ?” Tanya Isyraf tergagap-gagap.

“Kau dah kahwin, Isyraf?” Soal Afiq tidak percaya.

“Dengan Anis?” Soal Firdaus pula dengan riak serupa.

“Korang suami isteri?” Tanya Athirah bingung.

“Sejak bila weh?” Tanya Marina pula dengan muka berkerut.

“Biar betul korang." Faten pula mencelah.

“Dahsyatnya hangpa." Ujar Alia dengan gaya tidak berperasaan.

“You orang ni tipu-tipu ka betul-betul?” Tanya Wei Xin masih tidak mengerti.

“Korang main-main aje, kan?” Tanya Nina tidak yakin.

“Wooo... Drama apakah ini?” Ujar Suraya dengan muka kagum.

Anis dan Isyraf saling berpandangan. 

Mereka tahu yang tiada gunanya lagi menyimpan tembelang yang sudah pecah.

Anis mengeluh sebelum berkata, “Korang semua, kami minta maaf.” 

Anis mengerling Isyraf, “Ya. Kami dah kahwin. Sejak sebelum masuk matrik lagi sebenarnya.”

“APA?!!!”
.
.
.
.
.
MUJUR sempat Anis pulang ke bilik sebelum Tira berangkat pulang. 

Disebabkan rahsianya juga sudah bocor dengan rakan-rakan sekelasnya terpaksalah dia dan Isyraf menerangkan dari A sehingga Z apa yang terjadi sebenarnya.

Dahsyat juga dia kena maki dengan rakan-rakan sekelasnya itu. Bukanlah makian dari segi yang boleh mencetuskan pergaduhan tapi lebih kepada kata-kata tidak puas hati mereka kerana selama ini mereka tidak diberitahu perkara sebenar.

Afiq : Gila tak sangka korang ni suami isteri.

Firdaus : Selama ni suka bergaduh aje macam anjing dengan kucing.

Athirah : Anis, I rasa nak pijak you okay!

Faten : Hati kau keras, Anis.

Marina : Terkejut beruk aku bila tau hangpa rupanya suami isteri!

Alia : Dah kahwin bukan reti nak habaq!

Nina : Ni yang rasa nak maki dan cerca orang ni!

Wei Xin : Hayyyaaa... Jahatlah you dua orang! Tipu sama kita orang!

Suraya : Korang dah terpengaruh cerita Korea banyak sangatlah ni!

Walaupun pelbagai ugutan dan makian diterima namun Anis dan Isyraf bersyukur apabila rakan-rakan mereka itu menerima secara terbuka alasan mereka dan memahami situasi mereka selepas mendengar penerangannya.
.
.
.
.
.
SATU DEMI SATU rakan-rakan matrikulasi Anis rakan sekelas mahupun rakan sebilik berangkat pulang kembali ke pangkuan masing-masing. 

Berjurai-jurai air mata mengalir menghantar pemergian mereka.

Salaman dan pelukan erat menjadi perkara wajib untuk menggambarkan rasa sedih mereka untuk berpisah. 

Anis menjadi orang terakhir yang pulang antara rakan sebiliknya kerana mama dan papa Isyraf mengalami masalah semasa dalam perjalanan.

“Sedih lagi ke?” Tegur Isyraf ketika dia dan Anis sama-sama memasukkan barang-barang di dalam bonet kereta papa Isyraf.

“Sedihlah. Saya sorang aje yang tinggal. Satu demi satu saya tengok kawan-kawan saya tinggalkan saya." Cerita Anis sedih.

“Tapi abangkan ada?” Isyraf menggenggam tangan Anis.

Anis perlahan-lahan mengukir senyuman, “Yalah.”

“Ehem! Jangan nak sweet-sweet sangat dekat bonet ni. Pergi ambil barang lagi kalau ada.” Tegur Datin Zulaikha menyebabkan Isyraf melepaskan pegangan tangan manakala Anis tersenyum malu dengan muka yang merah.

“Errr... Barang Isyraf dah tak ada. Barang Anis?” Tanya Isyraf cuba mengubah topik.

“Errr... Ada lagi sikit tu. Sekali lagi bawa aje habislah.” Beritahu Anis.

“Hmm… pergi tolong Anis, Isyraf. Kita nak kena cepat ni." Arah Dato’ Hafiz.

Isyraf menurut dan mengekori Anis kembali ke bloknya. Tinggal bagasi beroda Anis dan anak patung beruangnya saja di situ.

“Biar abang bawa beg ni." Isyraf sudah mengambil bagasi Anis itu dari tangan Anis.

“Eh, tak apalah! Anis boleh bawa." Ujar Anis.

“Habis, takkan nak abang bawa teddy bear tu pula. Jatuhlah maruah suami Anis ni." Bisik Isyraf.

Anis tergelak, “Yalah… jom!”

“Ini langkah terakhir kita sebelum masuk dalam kereta. Shall we?” Isyraf tiba-tiba menghulurkan lengannya minta dirangkul oleh Anis.

“Nak pegang tangan ke?” Tanya Anis tidak yakin.

Isyraf mengangguk, “Ala-ala dekat red carpet gitu. Lagipun orang dah tak ramai pun ni. Cepatlah."

Anis akhirnya merangkul juga tangannya dengan tangan Isyraf sebelum mereka mula melangkah menuju ke kereta kembali. 

Walau ada mata yang memandang hairan tapi kini Anis sudah tidak kisah. 

Dia bahagia dengan apa dilaluinya dan dimilikinya sekarang. Dia jatuh cinta dengan kehidupannya di matrikulasi ini yang sudah banyak mengajarnya tentang pelbagai perkara yang mungkin tidak akan dia perolehi di tempat lain. Dia berdoa kepada Yang Maha Esa semoga cabarannya di masa akan datang dapat dia tempuhi dengan jayanya. InsyaAllah.

7 comments:

  1. Knape sama dgn cerpen cinta matrikulasi.. Penulis yg sama ke mcm mana

    ReplyDelete
  2. Oi bodoh kau curi cerita org pastu tkar main character pnya nma pukimak btul kau ni eh? Ko tkder idea ke nk tulis cerita sndiri babi

    ReplyDelete
  3. Hai, saya penulis asal Cinta Matrikulasi. Lepas bertahun baru saya tahu ada orang ciplak cerpen saya dan dengan gigihnya siap edit nama-nama watak dalam cerpen saya. Sedih pula ada orang sanggup ciplak hasil kerja saya yang asalnya saya buat khas untuk kawan-kawan dan juga untuk mengenang memori kami. Saya minta jasa baik tuan blog ini untuk padamkan post ni. Saya tak benarkan mana-mana pihak repost atau menciplak dengan cara begini tanpa kredit kepada saya.
    Original : https://duniafantasiiliyanaahmad.blogspot.com/

    ReplyDelete